Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengumumkan jurulatih baharu mereka dari Indonesia iaitu Kurniawan Dwi Yulianto bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Kurniawan yang pernah beraksi untuk pasukan Sarawak pada musim 2005 akan menggantikan tempat Julius Ating sebagai ketua jurulatih skuad Tambadau itu. Hal ini kerana Julius tidak mempunyai memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diwajibkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk semua pasukan Liga Super.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat SAFA.

“Seperti mana yang kita tahu bahawa beliau (Kurniawan) ialah seorang pemain bolasepak profesional untuk negara Indonesia dan pernah beraksi di kancah bolasepak Malaysia suatu ketika dahulu dan telah mengendalikan beberapa pasukan sebelum ini di Indonesia sebelum kita memanggilnya untuk mengetuai pasukan Tambadau Sabah untuk musim 2020,” katanya.

Kurniawan bukanlah satu nama yang asing dalam arena bola sepak Indonesia dimana beliau pernah menyarung jersi skuad Garuda dari tahun 1995 hingga 2005. Pemain yang diberikan gelaran Kurus itu membuat penampilan sebanyak 59 kali di pentas antarabangsa dan telah menjaringkan 33 gol.

Selain itu, beliau juga pernah beraksi bersama kelab-kelab ternama di Indonesia seperti Persija Jakarta, Persebaya Surabaya serta PSM Makassar.

Dalam dunia kejurulatihan, Kurniawan menjawat jawatan sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia pada 2018 sebelum diberikan tugas bagi membantu Indra Sjafri bagi mengendalikan skuad B-22 tahun dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina baru-baru ini.

Selain Kurniawan, SAFA turut menandatangani jurulatih kecergasan skuad kebangsaan Indonesia B-19, Sofie Imam Faizal dengan kontrak selama 1 tahun. Bagaimanapun, Sofie dibenarkan kembali untuk membantu skuad Indonesia B-19 jika mendapat panggilan daripada badan induk bola sepak negara itu.

Difahamkan bekas pemain import Pahang, Saddil Ramdani yang juga pemain skuad Indonesia B-22 akan mengisi kuota pemain import Asean pasukan Sabah pada musim depan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Nguyen Quang Hai Tolak Tawaran Untuk Sertai Consadole Sapporo

Jay Bothroyd Sifatkan Takumi Minamino Pemain Yang Berkualiti

JFA Tawar Insentif Wang Tunai RM113,800 Kepada Kelab J2 Dan J3 Jika Turunkan Pemain Bawah 21 Tahun