Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan kehadiran pemain dari Korea Selatan yang persis selebriti K-Pop di Ipoh sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan gadis remaja.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Jeon Hyo-Seok dan merupakan bekas pemain pertahanan daripada kelab divisyen 2 K-League, Asan Mugunghwa. Kelab tersebut merupakan juara K League 2 pada musim lepas.

Mengulas mengenai kehadiran pemain yang berusia 22 tahun itu, pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah menafikan Hyo-Seok telah menandatangani kontrak secara rasmi sebaliknya menjelaskan pemain itu masih menjalani ujian pemilihan.

“Belum ada keputusan. Dia perlu menjalani ujian dan kami akan menilai kesesuaiannya,” kata Adly dipetik dalam Stadium Astro.

Perak kini sedang giat mencari pemain import kuota Asia bagi menggantikan tempat pemain pertahanan Lubnan, Hussein El Dor.

Hussein yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua pada bulan Mei lalu tidak dilanjutkan kontrak walaupun berjaya bantu Perak mara ke perlawanan akhir Piala FA 2019.

Adly turut mengesahkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kini sudah ada beberapa nama lain yang bakal menggantikan tempat Hussein dan tidak pernah beraksi di Malaysia.

“Setakat ini, kita sudah ada beberapa nama cuma belum boleh didedahkan kepada umum. Apa yang boleh saya beritahu, semua pemain ini tidak pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia,” tambahnya.

Selain itu, dua pemain bintang tempatan yang berpengalaman luas turut diburu bagi memperkuatkan pasukan. Berdasarkan khabar angin di media sosial, salah seorang daripadanya ialah bekas pemain JDT dan Selangor iaitu Amri Yahyah.

“Kedua-dua mereka merupakan pemain yang berpengalaman dan dikenali oleh penyokong. Kita telah buat perbincangan dengan mereka dan jika berjalan lancar mereka akan sertai Perak dalam masa terdekat,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia untuk musim 2020 melalui pautan dibawah.

Mat Yo Bakal Beraksi Dalam Liga Premier 2020 Bersama Kuching FA?

Michael Feichtenbeiner Isi Jawatan Pengarah Teknikal Selangor FA

Pahang Tidak Sambung Kontrak Penyerang Muda, R.Kogileswaran

Sumber