Petaling Jaya City (PJ City) kali ini serius mahu memberikan tentangan sengit dalam saingan Liga Super musim 2020 apabila menandatangani dua pemain import berpengalaman di posisi pertahanan dan serangan.

Dua pemain tersebut ialah penyerang skuad kebangsaan Guinea yang berusia 26 tahun iaitu Demba Camara dan bekas pemain pertahanan kelab Kitchee FC, Kim Bong Jin bagi mengisi kuota Asia.

Pengendali skuad itu, K. Devan menyifatkan kehadiran pemain tersebut mampu membantu pasukannya bersaing dengan gergasi tempatan berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki oleh mereka.

“Kim telah bermain dalam Liga Vietnam bersama Hoang Anh Gia Lai musim lepas dan pernah beraksi bersama kelab Hong Kong, Kitchee FC dan beberapa kelab Korea seperti Incheon United dan Gyeongnam FC.

“Kehadirannya akan memberikan kestabilan dalam bahagian pertahanan dan dia juga boleh bermain di posisi “defensive midfielder”.

“Camara pula merupakan penyerang jenis nombor 9 yang mampu ‘hold’ bola dan mempunyai ketinggian yang bagus (186 cm). Dia juga mampu memintas pemain pertahanan lawan dengan larian pantas.

“Pemain itu ada kualiti dan pernah bermain dalam Liga Turki. Sudah tentu akan membentuk gandingan yang baik bersama Washington Brandao,” jelas Devan seperti dipetik dalam The Star.

Bagaimanapun, kuota pemain import skuad PJ City masih belum lengkap sepenuhnya dan mereka telah pun mengenalpasti seorang pemain dari Indonesia dan Filipina untuk mengisi kuota pemain import Asia Tenggara.

“Kami telah mengenalpasti seorang pemain Indonesia yang mempunyai passport Belanda dan juga pemain Filipina yang mempunyai darah kacukan British,” jelas Devan.

Devan juga tidak mahu pasukannya dilabelkan sebagai “silent killer” atau pengacau kerana mereka tekad menjadi antara pencabar terkuat Liga Super dan sedia mengejutkan pasukan pilihan seperti JDT, Kedah, Selangor dan Pahang.

“Kita tak nak jadi pengacau kerana dalam bola sepak ini kita perlu menunjukkan prestasi baik dan konsisten setiap perlawanan.

“Kita bukan sahaja nak menang dengan pasukan besar, tetapi selepas itu tewas dengan pasukan bawah daripada kita. Saya tak nak macam tu. Kalau boleh biar kita konsisten,” katanya.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan skuad PJ City melalui pautan dibawah.

PJ City Sasar Kelompok Lima Teratas Liga Super 2020

PJ City FC Mahu Tingkatkan Kehadiran Penyokong