Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi optimis kewujudan Liga M3 adalah platform terbaik untuk mendidik kelab berstatus amatur untuk menjadi pasukan profesional.

Jelas Datuk Wira Mohd Yusoff, Liga M3 semakin mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air serta berpotensi besar untuk dikembangkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang bukan sahaja kepada pemain malah di bahagian pengurusan pasukan dan perlawanan.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, beliau yakin bahawa kelab-kelab amatur negara mampu menyinar dalam kancah Liga Malaysia sekiranya mereka diberikan ruang, peluang dan pendidikan baik daripada pihak AFL.

Liga M3

Sumber Gambar: MFL

“Sudah tentu Liga M3 ini kena diperkuatkan kerana ia bakal jadi platform untuk pasukan-pasukan naik ke Liga Premier maka kualiti serta standard Liga M3 ini perlu diperhalusi serta diberi penambahbaikan supaya standard tidak jauh dengan Liga Premier.

“Jadi, tugas AFL adalah kami harus menyediakan pasukan ini ke arah profesional. Kita mesti mendidik pasukan-pasukan Liga M3 ini ke arah profesionalisme bermula di peringkat amatur. Saya percaya bahawa dengan kehadiran pasukan-pasukan ini akan memberikan input positif kepada bola sepak tempatan,” katanya.

Datuk Wira Mohd Yusoff dilantik sebagai Pengerusi AFL pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) pada Sabtu lalu.

Liga M3

Sumber Gambar: MFL

Dalam perkembangan lain, Datuk Wira Mohd Yusoff mendedahkan beliau telah bersedia untuk bertemu dengan wakil-wakil pasukan Liga M3 bagi memastikan AFL dapat menerima informasi serta input dalam usaha memperbaiki kualiti liga berstatus amatur tersebut.

“Saya berharap dapat bertemu dengan pasukan-pasukan amatur selepas ini bagi mendapatkan respons serta apa lagi yang AFL perlu perbaiki.

“Perkara ini harus dibuat kerana kita tidak boleh buat pelbagai perancangan tanpa mengambil kira perancangan atau persiapan pasukan. Justeru, kita perlu mendapatkan maklumat daripada pasukan untuk memperbaiki standard Liga M3,” ujarnya.

Liga M3 musim ini disertai 14 pasukan dengan Kelantan United FC menerajui liga selepas 19 perlawanan menerusi kutipan 50 mata, Kuching FA (43) dan Armed Forces FC (35).

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga M3 di sini:

Penganjur Klang Valley League Cadangkan Struktur Liga M3 Dibahagikan Ikut Zon Dan Kawasan

Kelab Liga M3 Sambut Baik Inisiatif MFL Dan AFL

MFL Bantu Kelab Liga M3 Bayar Pengadil Perlawanan

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group