Amateur Football League (AFL) mengumumkan penajaan MBSB Bank Berhad bagi pertandingan utamanya iaitu Liga M3 dan secara tidak langsung menyaksikan penjenamaan liga semi-profesional ini untuk diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Melalui Perjanjian Penajaan yang dimeterai antara AFL yang merupakan pengendali utama liga semi-profesional dan amatur dengan MBSB Bank Berhad sebuah Bank patuh syariah yang progresif, Liga M3 akan diberi nafas baharu dan selepas ini dikenali sebagai MBSB Bank Championship (Liga Kejuaraan MBSB Bank).

Majlis menandatangani perjanjian penajaan yang diadakan Sabtu lalu di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak itu telah disempurnakan oleh Pengerusi AFL, Yang Berbahagia Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad iaitu Yang Berbahagia Datuk Nor Azam M. Taib sebelum sepak mula Perlawanan Liga M3 di antara Sarawak United FC dan Malaysia University FT (MUFT) di venue yang sama.

Mohd Yusoff berkata kerjasama itu membuktikan liga tempatan bertaraf semi-profesional dan amatur mempunyai potensi cukup besar untuk diterokai dari sudut komersial.

“Kehadiran MBSB Bank melambangkan penerimaan komuniti perniagaan terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat ini. Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar mahupun tempatan agar memberi perhatian kepada sukan bola sepak di peringkat amatur,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, Yang Berbahagia Datuk Azrulnizam Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pengarah MBSB Bank Berhad dan Lagenda Bola Sepak tempatan yang juga merupakan Penasihat Teknikal Pasukan MUFT, Yang Berbahagia Dato’ Jamal Nasir Ismail.

MBSB Bank selaku penaja utama dan rakan bank rasmi AFL juga menjadi penaja bersama untuk Liga M4 dan Liga M5 yang dikendalikan oleh AFL.
Nantikan wajah baharu Liga yang bertaraf semi-pro ini!