Selepas pembatalan saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal Premier, peminat bola sepak tanah air terus dikecewakan apabila baru-baru ini saingan Liga M3 turut mendapat nasib yang sama.

Pengelola liga, Amateur Football League (AFL) memberikan beberapa faktor yang menyebabkan saingan musim ini dibatalkan antaranya hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan. Majoriti pasukan bertanding turut bersetuju agar saingan musim ini dibatalkan sekaligus mengalihkan fokus untuk menghadapi saingan musim hadapan.

Vocket FC menemubual salah satu pasukan bertanding iaitu Real Chukai yang mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Amirul Hakim Osman menegaskan pihaknya menerima dengan hati yang terbuka dengan pembatalan yang dilakukan dan mereka sedang mencari jalan alternatif.

Real Chukai
Amirul Hakim Osman (Baju Putih). Sumber Gambar: Real Chukai

“Pembatalan ini sudah pasti mengganggu emosi pihak pengurusan, jurulatih dan barisan pemain. Tetapi, kami menerima dengan hati yang terbuka selain kami perlu positif dan mengekalkan fokus untuk membuat persediaan apabila saingan baharu membuka tirai pada Februari 2022 nanti,” katanya ketika ditemu bual.

Bercakap mengenai langkah selepas tiada saingan bagi musim 2021, Amirul menambah pihaknya kini sedang merangkan jalan alternatif bagi memastikan pemain mempunyai peluang untuk terus beraksi.

“Kami akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan para pemain terus mendapat aksi yang kompetitif. Kami akan memanggil staf kejurulatihan bagi meminta pandangan mereka mengenai perkara ini,” tambah Amirul.

Real Chukai antara salah satu pasukan yang telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan Liga M3 musim ini dimana mereka telah bersedia dari segi barisan pemain serta telah melancarkan jersi yang akan dipakai oleh pemain.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

RASMI: Saingan Liga M3 Sah Dibatalkan Serta-Merta, 2 Pilihan Berkaitan Status Kontrak Pemain Dan Pegawai

TMJ Dedahkan Faktor Utama Pembatalan Piala Belia Dan Piala Presiden

FAM Sahkan Keputusan Pengadil Layangkan Kad Merah Kepada Sharbinee Tepat