Ketua jurulatih kelab amatur, Kuala Lumpur Rovers, Nazrul Erwan Makmur memasang impian untuk melebarkan sayap membimbing pasukan di Liga Premier atau Liga Super dengan menjadikan Liga M3 sebagai platform untuknya membuktikan kemampuan sebenar.

Selepas empat tahun memegang jawatan sebagai penolong jurulatih PDRM FA, Perlis FA dan UiTM FC, Nazrul mula diberi kepercayaan melatih pasukan Puchong Fuerza pada tahun 2018 sehingga mereka berjaya menjulang kejuaraan Selangor Champion League (SCL2018).

Dan kini, beliau mahu terus mencipta nama dengan KL Rovers pula pada musim 2020 dengan harapan mampu membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih berpengalaman untuk membimbing pasukan-pasukan gah di Liga Premier atau Liga Super pada masa akan datang.

Jelas Nazrul, 40, pentas Liga M3 ini benar-benar membantu dirinya untuk menimba pengalaman berguna sebagai ketua jurulatih yang nyata lebih mencabar berbanding posisi penolong jurulatih yang pernah disandang sebelum ini.

“Bagi saya, Liga M3 ini memang kita tahu menjadi platform terbaik untuk pemain-pemain yang tidak mendapat tempat dalam pasukan lain untuk mereka kembali mencipta nama bersama pasukan bawah.

“Tetapi, sebenarnya bukan sahaja pemain, jurulatih juga menjadikan pentas Liga M3 khususnya sebagai tempat untuk mereka membuktikan kemampuan untuk terus melebarkan sayap ke pasukan lebih gah.

“Sasaran saya kalau masih diberi kepercayaan selama dua hingga tiga tahun lagi, memang saya teringin sangat nak menjadi ketua jurulatih kepada pasukan senior dan saya akan gunakan sebaik mungkin platform yang ada ini untuk kembali mencipta nama”, jelasnya.

Menjelang Kelayakan Piala FA Malaysia 2020 yang akan bermula pada 15 dan 16 Februari ini, Nazrul meletakkan harapan tinggi kepada anak buahnya untuk mempamerkan aksi terbaik menentang Klasiko FC.

Beliau tidak menolak dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Hafiz Kamal serta Arman Fareez Mohd Ali yang pernah berada di bawah bimbingannya dalam skuad UiTM FC mampu membantu pemain muda lain untuk layak lebih jauh di pentas Piala FA musim ini.

“Untuk saingan Piala FA ini, memang saya akan menggunakan kudrat pemain-pemain muda dengan harapan pemain senior yang ada juga dapat membantu mereka di atas Padang.

“Bakal berdepan Klasiko FC, saya faham bukan mudah kerana mereka pernah beraksi di pentas Piala FA musim lepas dan apa sahaja boleh berlaku.

“Tetapi ini adalah perlawanan kalah mati dan saya mahu pemain-pemain tidak panik agar mereka dapat beraksi dengan tenang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan bola sepak Asia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

Tiga “Centre Back” Malaysia Yang Mempunyai Potensi Untuk Beraksi Di Liga Jepun

Nguyen Quang Hai Tersenarai Dalam “Forbes’ 30 under 30”, Bukti Pengaruh Kuatnya Untuk Rakyat Vietnam

Kawin Thamsatchanan Sah Sertai Hokkaido Consadole Sapporo Secara Pinjaman Dari OH Leuven