Badan pengendali K-League (Liga Korea) semalam mengumumkan saingan musim 2020 akan berlangsung pada 8 Mei secara tertutup tanpa penonton selepas ditangguhkan lebih 2 bulan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Aksi pertama K-League 1 sepatutnya bermula pada 29 Februari lalu namun peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di Korea Selatan memaksa mereka menangguhkan semua perlawanan yang membabitkan 12 pasukan.

Menurut kenyataan rasmi, juara bertahan, Jeonbuk Hyundai Motors akan menentang Suwon Samsung Bluewings sebagai perlawanan pembukaan di Jeonju.

Jumlah perlawanan telah dikurangkan kepada 27 perlawanan berbanding 38 perlawanan pada musim lepas dengan pasukan tercorot akan diturunkan pangkat ke K-League 2. Saingan divisyen 2 itu turut akan bermula pada 8 Mei depan.

Menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang ditetapkan, jika mana-mana pemain atau jurulatih pasukan didapati positif COVID-19, pasukannya tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan yang seterusnya selama 2 minggu.

Badan pengendali liga itu juga membenarkan setiap pasukan mengadakan perlawanan persahabatan selepas melihat situasi semasa wabak pandemik di Korea Selatan menunjukkan tanda pengurangan.

Baca artikel lain untuk mengetahui perkembangan liga sekitar Asia yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. 

RASMI: Thai League Ditunda Sehingga Bulan September 2020 Dan Liga Dijangka Tamat Pada Bulan Mei 2021

Liga Super China 2020 Akan Bermula Pada Bulan Julai

Saingan J. League Akan Kembali Pada 9 Mei 2020

Liga Turkmenistan Kembali Bersambung Minggu Ini Dengan Kehadiran Penonton