Penularan wabak pandemik COVID-19 di Indonesia ternyata telah memberi kesan yang buruk kepada perjalanan liga domestik di negara itu.

Ketika liga lain sekitar negara Asia kembali berjalan sejak bulan lalu, namun Indonesia berdepan masalah besar untuk meneruskan pertandingan mereka.

Saingan Liga 1 dan Liga 2 2020 sepatutnya kembali berlangsung pada bulan Oktober ini namun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mereka tidak dapat kebenaran rasmi daripada pihak Polis kerana peningkatan kes COVID-19.

“Berkaitan Liga Indonesia 1 dan 2 yang akan dilaksanakan pada 1 Oktober 2020, polis tidak memberi kebenaran dengan mempertimbangkan situasi pandemik COVID yang masih terus meningkat, banyak rakyat yang dijangkiti,” kata Ketua Polis Indonesia, Argo Yuwono dipetik dalam CNN. 

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan menghormati keputusan pihak Polis Indonesia (Poldri) dan berharap saingan Liga Indonesia dapat diteruskan pada bulan November 2020.

Namun, jika masih tidak dapat diteruskan, PSSI kemungkinan mengambil keputusan untuk batalkan saingan musim 2020.

“PSSI menghormati dan memahami keputusan poldri. Keamanan, keselamatan dan kemanusiaan itu paling utama. PSSI mohon untuk menunda semua pertandingan selama 1 bulan.

“Kalau disember, mungkin masih tunda lagi, April sudah ramadhan, sementara Mei sudah memasuki persiapan Piala Dunia B-20. Mari berharap agar pandemik kembali pulih sehingga pertandingan dapat diteruskan pada November 2020,” tambahnya.

Sementara itu, sebuah kelab Liga 1, Persiraja Banda Aceh sedang mempertimbangkan untuk tarik diri jika hala tuju saingan liga musim ini belum dapat ditentukan dengan jelas.

“Kita beri masa kepada PT.LIB atau PSSI, selama 2 minggu untuk buat keputusan, ia harus jelas, liga diteruskan atau dibubarkan.

“Kalau sampai November pun masih belum ada kepastian, maka kalau liga ini bersambung pada bulan Disember, kita (Persiraja) tidak akan sertainya. Jadi, kami akan beri masa kepada PSSI untuk buat keputusan,” kata Presiden Persiraja, Nazaruddin Dek Gam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

28 Musim Selepas Liga Bola Sepak Profesional Bermula, J.League Kini Ditayangkan Di 20 Buah Negara

10 Pemain Asia Tenggara Dengan Nilai Pasaran Tertinggi

Akira Nishino Panggil 13 Muka Baharu Sertai Kem Latihan Skuad Kebangsaan Thailand