Status sebagai antara pemain futsal terkemuka dan berpengalaman di Iran tidak langsung membuatkan Ahmad Esmaeilpour kebal daripada sebarang hukuman apabila beliau diminta untuk meninggalkan kem latihan pusat bagi menghadapi Kelayakan Kejuaraan Futsal AFC 2022.

Tindakan tegas tersebut diambil pengendali baharu skuad futsal Iran, Vahid Shamsaei selepas pemain berusia 33 tahun itu dikatakan lewat selama sejam setengah untuk melapor diri ke sesi latihan pusat yang bermula semalam.

Ahmad Esmaeilpour merupakan antara tonggak utama Iran. Kredit Foto: AFC

Selain pemain yang pernah beraksi dalam tiga saingan Piala Dunia Futsal itu, Behrouz Azimi turut menerima nasib sama berikutan keputusan tegas Shamsaei, juga kerana kelewatan.

Keadaan yang jelas menunjukkan betapa Shamsaei amat mementingkan disiplin dan ketepatan masa tanpa mengira latar belakang pemain.

Iran bakal menghadapi pusingan kelayakan di Kyrgyzstan dan nyata bukanlah tugasan sukar buat mereka kerana pasukan di ranking keenam dunia itu diletakkan dalam satu kumpulan bersama pasukan tuan rumah serta Turkmenistan dan Maldives.

Menurut sumber laporan Fut5al.ir, Shamsaei yang merupakan legenda futsal Iran dan cukup terkenal dengan ledakan berbisanya telah memanggil 33 orang pemain pada sesi latihan pusat kali ini.

Barisan pemain yang dipanggil menyertai sesi latihan pusat skuad futsal kebangsaan Iran. Kredit foto: Morteza Ahmadi

Mungkin disebabkan cabaran mudah bakal dilalui nanti, Shamsaei dilihat lebih berminat untuk memberikan peluang kepada tenaga baharu dan lebih muda.

Hal ini kerana beliau telah mengenepikan 10 orang pemain [tidak termasuk Esmaeilpour] yang menggalas tanggungjawab Iran dalam saingan Piala Dunia Futsal 2021 di Lithuania.  Sebahagian besar daripada pemain tersebut merupakan individu yang sudah melepasi usia 30 tahun.

Hanya lima pemain dikekalkan iaitu Mohammad Reza Sang Sefidi, Saied Ahmad Abbasi, Arfan Muslim Olad Ghobad, Alireza Rafiipour dan tonggak utama yang beraksi bersama Benfica, Hossein Tayebi.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Futsal Indonesia Dapat Sentuhan Iran, Lantik Mohammad Hashemzadeh Sebagai Ketua Jurulatih

4 Perkara Ini Jadikan Thailand Antara Kuasa Besar Futsal Asia

MPFL 2022: Bekas Kapten Skuad Futsal B-20 Indonesia, Anton Cahyo Perkuatkan Kelantan

Sumber