4 Ogos lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian letupan dahsyat di Beirut, Lubnan yang mengorbankan 160 nyawa dan mencederakan lebih 6,000 orang sehingga mencetuskan protes ganas dalam kalangan rakyat.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada skuad Tok Gajah kerana tonggak import dari negara itu, Khalil Khamis tidak dapat menyertai pasukan susulan peraturan kerajaan Lubnan yang tidak membenarkan rakyatnya ke luar negara.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan perkembangan itu melalui laporan dalam Arena Metro dan membayangkan mereka mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain itu pada musim ini.

“Ia ditambah dengan penularan wabak Covid-19 di negara itu yang masih berlaku menyebabkan berlaku kesukaran dalam urusan Khalil kembali ke negara ini.

“Pada masa sama, kerajaan Lubnan masih tidak membenarkan rakyat negara itu ke luar negara di sebabkan wabak pandemik Covid-19.

“Jika Khalil tiba di negara ini, dia sudah pasti akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan sah tidak akan beraksi pada 26 Ogos ini. Setakat ini, tiada pengesahan sama ada Khalil akan kembali bersama Pahang dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

89526707_2928095660584442_4267687295823380480_o
Khalil Khamis (Berdiri tengah) ketika beraksi menentang Sabah. FOTO: Pahang FA

Setakat ini, hanya tiga pemain import sudah menjalani latihan bersama pasukan itu sejak minggu lalu iaitu Dickson Nwakaeme, Herold Goulon dan Ivan Carlos.

Manakala seorang lagi pemain import dari Filipina, Adam Reed dijangka akan menyertai sesi latihan pasukan minggu depan selepas selesai tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Kita harapkan sebaik tempoh kuarantin tamat, ujian calit terakhir yang dilakukan dia bebas daripada wabak Covid-19 dan boleh menyertai rakan lain,” jelas Suffian.

Pahang kini berada di tangga ketiga dalam saingan Liga Super selepas mengutip 6 mata dalam 4 perlawanan yang diharungi. Mereka dijadualkan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 Ogos ini di Stadium Darul Makmur.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Tiga Lagi Calon Berminat Untuk Membeli Pasukan Kelantan

FAM Tidak Mengiktiraf “Double Contract”

Singa Utara Bakal Beraksi Di Liga M3 Musim Depan?