Penafian: Kisah ini bukan untuk menyatakan bahawa kami cuba memandai tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman peribadi yang diperolehi ketika berada dalam komuniti mereka.

Semua mengetahui bahawa Jepun merupakan salah sebuah negara Asia yang banyak mengeksport pemain bola sepak mereka ke eropah setiap tahun samada ke kelab yang tersohor ataupun yang kurang dikenali.

Apa yang menjadi persoalan sekarang adalah bagaimana mereka membangunkan bakat-bakat muda sebelum berusia 18 tahun ini untuk ‘fit’ menyertai sistem kelab profesional.

Jika ada yang masih tertanya-tanya, sebenarnya mereka tidak ada rahsia besar pun mengenai pembangunan bakat remaja, cuma mereka memaksimakan platform dari segenap sudut untuk menghasilkan pemain berkualiti – jurulatih, pemain, pegawai serta lain-lain.

Tahukah Anda Ada 3 Platform Utama Pembangunan Pemain Remaja Jepun?

Dalam sistem bola sepak Jepun, wujud 3 jenis sistem atau platform utama yang sentiasa menghasilkan pemain berkualiti apabila mencecah umur 18 tahun.

  1. Sistem Bola Sepak Sekolah Tinggi
  2. Sistem Bola Sepak Remaja Kelab
  3. Prince Takamado League
Sistem Bola Sepak Sekolah Tinggi Jepun

Walaupun masih tidak dapat keluar dari bayangan pembangunan sukan baseball, bola sepak sekolah tinggi di Jepun sudah dilihat sudah berjaya berdasarkan konsistensi menghasilkan pemain muda berkualiti.

Dalam sistem sekolah tinggi, seperti juga di Malaysia mereka mempunyai sekolah-sekolah tertentu yang dikenali sebagai sekolah yang memiliki skuad bola sepak atau sukan yang hebat. Seperti contoh Higashi Fukuoka High School, Otsu High School dan lain-lain.

Setiap prefektur di Jepun akan mengadakan kejohanan bola sepak bagi mencari pasukan yang akan mewakili prefektur mereka diperingkat kebangsaan. Secara umumnya, hanya 1 sekolah sahaja yang akan membawa cabaran setiap prefektur.

Kemuncak kepada kejohanan ini adalah All Japan High School Soccer Tournament yang diadakan pada setiap hujung tahun.

Kejohanan ini cukup berprestij kerana sudah menghampiri edisi ke 100 dan telah berjaya menghasilkan ramai nama-nama besar dalam bola sepak Jepun seperti Keisuke Honda, Shinji Okazaki, Gaku Shibasaki dan ramai lagi.

Pemain dari platform ini kebiasaanya sudah disambar oleh kelab-kelab profesional JLeague sebelum mereka menamatkan zaman sekolah tinggi, membuktikan platform ini memang berkualiti.

Honda Keisuke, merupakan salah seorang pemain skuad Gamba Osaka Junior Youth (U15), tetapi untuk menyertai skuad Gamba Osaka Youth (U18) persaingan yang tinggi telah meranapkan impian beliau untuk terus kekal bersama Gamba Osaka.

Honda selepas itu beralih kepada sistem bola sepak sekolah tinggi untuk terus mengejar impian menjadi pemain profesional dengan menyertai pasukan bola sepak sekolah tinggi Seiryo.

Sebelum menamatkan zaman persekolahan, Nagoya Grampus telah menandatangani beliau dengan kontrak profesional C.

Sistem Bola Sepak Remaja Kelab JLeague

Melalui sistem ini pula, seperti yang telah ditetapkan oleh JLeague, kelab-kelab yang memiliki keahlian wajib mempunyai sistem pembangunan pemain muda mereka sendiri.

Majoriti dari kelab-kelab ini mempunyai satu pool pemain bola yang besar untuk feed kepada pasukan senior.

Sebagai contoh, FC Tokyo mempunyai 11 buah akademi dalam kawasan ‘hometown’ mereka. Setiap akademi ini mempunyai skuad bawah umur mereka yang tersendiri dari U8 sehingga U15. 

FC Tokyo U18 pula merupakan skuad remaja elit bagi FC Tokyo dan mereka hanya mempunyai 1 pasukan sahaja. Jadi, dari semua 11 buah akademi tadi, hanya yang terbaik akan layak menganggotai skuad U18. 

Perkara ini bukan sesuatu yang pelik kerana semua kelab profesional JLeague memiliki struktur yang serupa. 

Kemuncak kepada sistem bola sepak remaja kelab JLeague ini adalah kejohanan JYouth Cup yang diadakan setiap tahun bagi mencari pasukan remaja kelab manakah yang paling handal.

Bagaimana dengan kelab-kelab lain yang tidak memiliki keahlian JLeague? 

Jepun tidak meminggirkan kelab-kelab lain yang tidak mempunyai taraf keahlian JLeague yang sangat tinggi syarat-syaratnya. 

JFA menubuhkan J Club Youth (JCY) Football Federation untuk memberikan fokus kepada pertandingan pada peringkat remaja yang lain yang membuka peluang untuk mereka bersaing. Kemuncak bagi peringkat ini adalah Japan Club Youth Soccer Tournament dan sudah hampir 45 edisi diadakan.

Prince Takamado League, Liga Remaja Paling Elit Di Jepun

Kenapa liga ini digelar sebagai liga bola sepak remaja paling elit di Jepun? Teruskan membaca untuk mengetahui jawapannya.

Jika 2 platform sebelum ini hanya memberikan fokus kepada sesebuah aliran sahaja, Prince Takamado League pula menggabungkan kedua-duanya.

Penyertaan terbuka kepada mana-mana sekolah tinggi dan juga kelab-kelab bola sepak U18 dari seluruh Jepun.

Prince Takamado League mempunyai 3 peringkat utama iaitu:

  • Championship 
  • Premier League
  • Prince League

Prince League merupakan liga divisyen 2 dalam hierarki Prince Takamado League. Prince League dipecahkan kepada 9 bahagian dimana setiap bahagian akan mempunyai 8-10 pasukan bersaing dalam liga.  

Hokkaido: 8 pasukan
Tohoku: 10 pasukan
Kanto: 10 pasukan
Hokushinetsu: 10 pasukan
Tokai: 10 pasukan
Kansai: 10 pasukan
Chugoku: 10 pasukan
Shikoku: 10 pasukan
Kyushu: 10 pasukan

Jika dilihat dari kuota pasukan bagi setiap liga diatas, sebanyak 88 pasukan U18 beraksi dalam saingan Prince League.

Untuk layak ke saingan Premier League, mereka perlu melalui pusingan play-off dan kuota pasukan untuk setiap region telah ditetapkan (16 pasukan keseluruhan).

Hokkaido: 1 pasukan
Tohoku: 2 pasukan
Kanto: 3 pasukan
Hokushinetsu: 1 pasukan
Tokai: 2 pasukan
Kansai: 2 pasukan
Chugoku: 2 pasukan
Shikoku: 1 pasukan
Kyushu: 2 pasukan

16 pasukan akan diundi dalam 4 kumpulan dan perlawanan kalah mati akan menentukan kedudukan pasukan.

4 juara kumpulan akan layak beraksi dalam saingan Premier League musim seterusnya.

Takamado Premier League pula mempunyai 2 bahagian iaitu West dan East. Setiap bahagian dianggotai oleh 10 buah pasukan remaja paling berkualiti di Jepun. 

Juara setiap bahagian akan layak ke peringkat Championship dan bersaing untuk memegang gelaran KING OF JAPAN YOUTH.

2 pasukan paling bawah setiap bahagian akan diturunkan ke Prince League (4 pasukan keseluruhan).

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan NEXT GENERATION MATCH?

Sebelum pembukaan JLeague setiap musim, mereka akan mengadakan satu perlawanan yang dikenali sebagai NEXT GENERATION MATCH.

Perlawanan ini akan menemukan 2 buah pasukan dengan kesebelasan terbaik iaitu :

  1. Best of High School
  2. Best of JLeague Club Youth

Pemain-pemain berusia 18 tahun yang terpilih dalam skuad ini dianggap sebagap prospek paling berkualiti untuk menonjol apabila beraksi secara profesional nanti.

Untuk makluman juga mereka tidak mempunyai sistem bawah umur lagi selepas U18, dan semua pemain akan bersama-sama pemain senior menjalani latihan. Walaubagaimanapun, JLeague sedang dalam proses melakukan ujian bagi skuad U23 tahun dimana 3 kelab menjadi perintis iaitu FC Tokyo, Cerezo Osaka dan juga Gamba Osaka.

Kita sebenarnya memiliki apa yang mereka lakukan terutama pada peringkat sekolah, tetapi kekurangan pembangunan yang dilakukan oleh pasukan-pasukan liga – paling kuat pun memiliki skuad belia U19 dan Piala Presiden U21, tanpa fokus kepada asas diperingkat lebih rendah, perlu dipandang serius jika mahu lebih maju dalam bola sepak.

Artikel ini hanya memberikan sedikit pendedahan apa yang dilakukan oleh Jepun dan JLeague dalam membina asas yang kuat untuk kelab serta pasukan kebangsaan mereka. Ini tidak bermakna kita perlu meniru 100% apa yang mereka lakukan, cuma mungkin ada yang boleh diambil mengikut kesesuaian di Malaysia.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group