Pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck meminta bantuan daripada pengurusan pasukan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menyiapkan segala dokumen yang diperlukan berkaitan proses naturalisasi beliau.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia ini mengakui beliau sedang bertungkus-lumus dalam menyiapkan dokumen yang diperlukan sebelum mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai warganegara Malaysia.

Lee Tuck
Sumber Gambar: TFC

“Setakat ini status permohanan untuk menjadi pemain tempatan masih lagi samar kerana segala dokumen perlu diproses dan mengambil masa untuk dilengkapkan. Bagaimanapun, saya harap semuanya dapat diselesaikan dalam masa terdekat apabila dokumen yang diperlukan sudah lengkap.

“Lagipun saya masih lagi berminat untuk menyarung jersi skuad Malaysia biarpun ia mengambil masa,” kata Tuck menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan PBSNT mengambil sikap sambil lewa dalam menguruskan proses naturalisasi Lee Tuck. FAM masih belum menerima sebarang dokumen daripada PBSNT yang menunjukkan mereka sudah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

FAM memberi tempoh seminggu kepada Lee Tuck dan PBSNT untuk mengemukakan dokumen lengkap sebelum pendaftaran dibuat dan seterusnya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.