Pemain tengah import Terengganu FC, Lee Tuck meluahkan kekecewaan beliau terhadap keputusan bekas ketua jurulatih pasukan, Irfan Bakti yang meletak jawatan pada Khamis lalu.

Ketua pasukan TFC itu berpendapat peletakan jawatan Irfan bukanlah langkah terbaik bagi memperbaiki prestasi semasa pasukan yang ketika ini sedang merudum.

“Sejujurnya saya begitu sedih dan sangat terkejut selain tidak menyangka peletakan jawatan Irfan. Dia seorang yang baik dan saya sangat hormat kepadanya sebagai seorang jurulatih berkaliber.

“Bagi saya, dia tidak sepatutnya mengambil keputusan itu, tetapi inilah bola sepak kerana adakala kita berada di atas dan adakala kita di bawah, Irfan memilih untuk meninggalkan pasukan.

“Saya harap penyokong setia pasukan dapat memahami impak positif yang dibawa Irfan sepanjang dua tahun dia bersama TFC,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Irfan Bakti

Sumber Gambar: Stadium Astro

Setelah mengalami kekalahan mengejut di tangan Petaling Jaya City FC dengan keputusan 5-3 pada Selasa lalu, penyokong nyata sukar menerima kekalahan tersebut dan membuat bantahan dengan menggesa pengurusan pasukan harus membuat perubahan.

Hasilnya, Irfan Bakti meletakkan jawatan beliau dan digantikan oleh pemangku jurulatih, Nafuzi Zain.

Bersama TFC, Irfan berjaya membimbing pasukan itu muncul sebagai naib juara Liga Perdana musim 2017 dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group