Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menjelaskan proses naturalisasi Lee Tuck yang lambat bukan berpunca daripada persatuan tersebut melainkan daripada pemain itu sendiri.

Penolong Pengurus TFC, Zulfadli Rozi berkata Tuck gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan kepada PBSNT untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lee Tuck
Sumber Gambar: TFC

“Sebenarnya, bukan persatuan tiada usaha. Ia berkaitan pemain itu sendiri. Apa sahaja yang Lee mahukan termasuk minatnya untuk menyarung jersi kebangsaan. Kita cuba membantu tetapi kita masih menunggu bukti dokumentasi daripada Lee.

“Bukti yang mengatakan bahawa dia ada pertalian darah sebelah nenek seperti yang beliau katakan. Sehingga sekarang beliau masih mencari dan telah meminta bantuan keluargannya di England untuk turut membantu mencari,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, PBSNT dikatakan mengambil sikap sambil lewa berkenaan proses naturalisasi pemain kelahiran England itu sehingga menyebabkan peluang Lee Tuck untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan terjejas.

FAM kemudiannya memberi tempoh seminggu kepada Lee Tuck dan PBSNT untuk mengemukakan dokumen lengkap sebelum pendaftaran dibuat dan seterusnya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.