Nampaknya kita akan melihat lebih ramai pemain Malaysia beraksi dalam saingan Liga Jepun apabila seramai tujuh pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan menjalani proses pemilihan bersama beberapa kelab J League dalam masa terdekat.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke kelab yang diwakili oleh penyerang skuad B-23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak iaitu Fagiano Okayama.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Sumber Gambar: KBS

Syed Saddiq berkata: Saya sudah berbincang dengan AMD serta FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dimana hujung bulan ini FAM akan ke Jepun untuk serahkan profil pemain muda berbakat khususnya pemain AMD untuk beraksi di Liga-J.

“Saya juga sudah berbincang dengan pihak pengurusan JFA dan J League untuk lihat bagaimana kami boleh bekerjasama bagi menambah jumlah pemain beraksi di Jepun. Ketika ini, Thailand sudah ada tujuh pemain kita, sementara di sini, kita baru ada Hadi seorang saja,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hadi Fayyadh
Sumber Gambar: BH

Difahamkan, Cerezo Osaka, Fagiano Okayama dan tiga lagi kelab J League berminat untuk menguji pemain muda negara sekaligus mengambil khidmat mereka sekiranya kualiti yang dimiliki menepati sesuai dengan kelab masing-masing.

Menurut YB Bro lagi: “Hadi sudah membuktikan kemampuannya di J-2 selepas hampir setahun beraksi bersama Fagiano Okayama. Malah, dia juga berjaya mendapat pengiktirafan di Jepun seterusnya kita mahu pastikan jumlah berkenaan akan bertambah selepas ini.

Untuk rekod, lima pemain muda negara yang diambil menerusi program Asean Dreams Project (ADP) sedang menjalani ujian bersama Cerezo Osaka.