Liga Super musim 2021 masih memiliki tarikan tersendiri apabila sejumlah 21,814,979 penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi).

Jumlah tontonan itu melibatkan siaran langsung perlawanan bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac 2021 sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei 2021 sebelum saingan Liga Malaysia berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

Turut menarik perhatian adalah rekod tontonan perlawanan di unifi Youtube yang direkodkan sehingga 30 Mei 2021 iaitu 49,838,140.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan, nilai statistik jumlah tontonan itu menerusi Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube serta TV1 membuktikan Liga Malaysia masih kekal saluran sukan nombor satu kegemaran negara.

unifi Liga Super 2021

Jelas Dato’ Ab Ghani, MFL dengan kerjasama penaja utama Telekom Malaysia (TM), potensi jumlah tontonan masih berupaya dipertingkatkan selaras minat rakyat terhadap sukan bola sepak pada masa akan datang.

Katanya lagi, MFL menghargai setiap pandangan khusus daripada penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa memberikan sokongan teguh kepada industri bola sepak tatkala negara masih berdepan detik sukar dalam era pandemik COVID-19.

“Itulah angkanya iaitu 21,814,979 jumlah tontonan siaran langsung keseluruhan setakat ini di mana ia melibatkan 78 perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terhasil sebanyak 202 gol. Apa yang menarik, kesemua video perlawanan Liga Super telah ditonton sebanyak 49,838,140 sehingga 30 Mei 2021 menerusi unifi YouTube.

“Statistik ini menunjukkan Liga Malaysia terutama Liga Super merupakan produk yang terbaik kepada rakan-rakan penaja kami untuk komersialkan produk mereka.

“Namun begitu saya optimis bahawa melalui teknologi sedia ada seperti siaran langsung melalui unifi tv, unifi YouTube dan RTM, sokongan terhadap liga tempatan tidak akan sesekali luntur kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei 2021 mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341.

Manakala siaran langsung bagi minggu ke-11 musim ini mencatatkan jumlah tontonan tertinggi sebanyak 2,307,698.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Status PKPD Halang Sri Pahang Adakan Perlawanan Persahabatan

Perlawanan Liga Malaysia Tidak Dibenarkan Berlangsung Di Kawasan PKPD

Perak Perkenalkan Jersi Ketiga Dan Kit Edisi Terhad Sempena Ulang Tahun Ke-100

Arif Aiman Dan Hakimi Abdullah Pemain Muda Paling Bernilai Liga Malaysia