Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mengumumkan Leandro Velázquez daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFA Malaysia edisi April 2023!

Ini merupakan kemenangan sulung Leandro Velázquez untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFA Malaysia.

Pemilihan Velazquez adalah hasil daripada undian peminat bola sepak tempatan apabila senarai calon pemain terbaik untuk bulan April didedahkan oleh PFAM berdasarkan prestasi mereka dalam saingan Liga Super musim ini.

Velazquez menewaskan 4 calon daripada pasukan lain iaitu Ayron De Valle (Selangor), Hassan Ali Saad (Penang), Stefano Brundo (Sri Pahang) dan Paulo Josue (KL City).

Pemain Argentina ini merupakan antara nadi penggerak JDT di bahagian tengah.

Selain menyediakan umpanan menarik kepada penyerang, dia juga memiliki keupayaan tinggi dalam meledak jaringan dengan dia menyumbang tiga gol sepanjang April.

Dalam saingan peringkat asia seperti AFC Champions League, Leandro Velazquez pernah tersenarai dalam kesebelasan terbaik daripada kesemua 6 perlawanan peringkat kumpulan pada musim 2022.

Ia satu pencapaian yang menakjubkan kerana bukan satu perkara mudah untuk dipilih dari kumpulan yang dianggap sebagai kumpulan maut AFC Champions League 2022 Asia Timur.

Leandro juga sebelum ini adalah sebahagian daripada pemain yang terbabit dalam kempen kejayaan JDT muncul juara Piala AFC 2015, selepas menyaksikan JDT menang 1-0 ke atas Istiklol FC hasil jaringan tunggalnya pada perlawanan akhir