Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di Tokyo, Jepun untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA). Lawatan tersebut adalah jemputan daripada Presiden JFA, Kohzo Tashima, lima bulan lalu selepas MoU ditandatangani di Putrajaya sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Selain barisan exco FAM, turut menyertai delegasi FAM ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ahmad Redzuan Shafi, Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan.

Lawatan sambil belajar tersebut membuka ruang pembangunan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan futsal serta jalinan hubungan kerajaan.

69388008_2347786505318100_4745681060963024896_n
FOTO: FAM

“Selepas pembentangan kertas kerja dan perbincangan dua hala ini, FAM berharap dapat memuktamadkan beberapa elemen permuafakatan untuk JFA membantu FAM menambah baik prestasi pemain secara individu dan kelompok pemain secara berpasukan.

“FAM menghargai ketelusan JFA yang membincangkan hala tuju dan cabaran membangunkan bola sepak di negara itu secara telus.

“Pertemuan dua hala ini sangat terbuka dan telus di mana kedua-dua negara berbincang mengenai cabaran sedia ada, kekuatan dan kelemahan serta idea-idea yang boleh dijadikan panduan kepada pembangunan bola sepak di peringkat tempatan,” kata kenyataan di laman facebook rasmi FAM.

68967820_2347787865317964_5750089382522519552_n
FOTO: FAM

Dalam pertemuan itu, JFA juga membentangkan topik pembangunan wanita serta cabarannya sekalipun Jepun muncul juara Piala Dunia FIFA Wanita pada 2011, serta pembangunan remaja, pendidikan jurulatih dan pembangunan akar umbi serta kaedah persiapan dari sudut faktor luaran skuad senior lelaki menjelang Piala Dunia FIFA 2018.

Delegasi FAM juga dimaklumkan pembangunan akar umbi di Jepun tiada punyai had usia bagi memastikan setiap golongan dan lapisan masyarakat diberi ruang menikmati bola sepak dalam pelbagai bola sepak seperti pesta bola sepak kanak-kanak dan bola sepak berjalan atau ‘walking football’.

Jepun kini mempunyai sejumlah 889,959 pemain, 27,918 pasukan, 81,883 jurulatih dan 274,544 pengadil. Jumlah penduduk Jepun ialah 127 juta.

Ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan bola sepak Jepun, klik pautan dibawah:

Budak Tingkatan 2 Ini Lulus Lesen Tahap 3 Hierarki Pengadil Bola Sepak Jepun

Liga Jepun Bakal Gunakan Teknologi VAR

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Struktur Piramid Pengadil Bola Sepak Jepun

‘Naming Rights’ Stadium Baharu Kelab Divisyen 2 Jepun Ini Bernilai RM76.52 Juta