Penyerang Argentina, Lautaro Martinez mengakui bahawa Argentina tewas kepada Arab Saudi, malam tadi disebabkan kesilapan sendiri yang dilakukan oleh mereka.

Keputusan yang mengejutkan itu juga telah mencalarkan rekod cemerlang 36 perlawanan tanpa sebarang kekalahan. Kali terakhir pasukan yang berada di ranking ketiga ranking dunia itu tewas adalah ditangan Brazil

Ia juga menjadi detik terhebat buat Arab Saudi sehingga menjadikan The Falcons sebagai pasukan pertama dari Asia yang berjaya menjaringkan dua gol ke atas Argentina dalam sejarah Piala Dunia.

Perlawanan di Lusail Iconic Stadium itu menyaksikan Lionel Messi membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti.

Martinez sendiri berpeluang untuk menambah jaringan pada babak pertama tetapi dua jaringannya pada minit ke-27 dan 35 terpaksa dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari membuatkan Argentina terkedu apabila menjaringkan dua gol menarik bagi menewaskan penjaga gol, Emiliano Martinez.

Penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais beraksi dengan cemerlang. Kredit Foto: Saudi Arabian Football Federation

Corak permainan keras serta kental bertahan membolehkan Arab Saudi keluar padang sebagai pemenang sekali gus Argentina pula berada dalam keadaan tertekan kerana selepas ini akan menghadapi cabaran getir Mexico dan Poland.

Malah, Martinez juga tanpa berselindung mengakui bahawa segalanya tidak berjalan dengan baik buat pasukannya pada ketika ini dan mengakui segala kesilapan mereka.

“[Kekalahan] ia begitu menyakitkan. Kami mengimpikan permulaan kempen Piala Dunia dengan nota kemenangan. Tetapi ini yang berlaku dan kini kami perlu untuk berlatih dan berfikir ke hadapan.”

“Kami kalah pada perlawanan ini kerana kesilapan yang kami sendiri lakukan, terutamanya pada separuh masa kedua.”

“Terdapat butiran yang telah menyebabkan perbezaan dan kami perlu untuk memperbaiki segala kesilapan kami,” ujar Lautaro Martinez menurut kenyataannya di Sky Sports.

 

 

 

Sumber