Pengurus Wales, Robert Page awal-awal lagi sudah memberikan peringatan kepada bintang pasukan, Gareth Bale dan rakan sepasukannya berhubung larangan untuk bermain golf sepanjang kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.

Seperti diketahui, Bale merupakan seorang pemain yang begitu meminati serta obses dengan golf sehingga beliau digelar ‘The Golfer’ dalam kalangan bekas rakan sepasukannya di Real Madrid.

Bale menganggap golf sebagai hobi sepertimana orang lain turut mempunyai aktiviti yang gemar untuk dilakukan pada waktu lapang.

Beliau yang kini berkelana ke Amerika Syarikat untuk beraksi bersama Los Angeles FC turut berpendapat golf membuatkan dirinya lebih tenang ketika berada di luar padang.

Sehubungan dengan itu, Page mahu Bale memberikan tumpuan penuh bagi menghadapi kempen dimana Wales berada satu kumpulan dengan England, Amerika Syarikat dan Iran.

“Ya, tidak ada golf. Kami berada di sana [Qatar] untuk melakukan tugasan,” ujar Page menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Pada masa lalu Gareth, Kieffer Moore atau Aaron Ramsey datang kepada saya dan bertanya, ‘Apa rancangan untuk petang esok? Ada mesyuarat?”

“Saya akan berkata, ‘Tidak, tiada mesyuarat, jadi anda mahu bermain sembilan lubang [merujuk kepada golf], anda boleh pergi dan bermain.”

“Tetapi itulah apabila anda mempunyai seminggu untuk membina pasukan. Di luar sana, kita tidak mempunyai cukup masa. Setiap empat hari ada perlawanan. Ia tidak henti-henti,” tambah Page lagi.

Kali terakhir Wales beraksi dalam saingan Piala Dunia adalah pada tahun 1958 dimana mereka berjaya layak sehingga ke peringkat suku akhir.

 

Sumber