Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin telah melarang kelab Iran daripada menganjurkan perlawanan AFC Champions League di halaman sendiri kerana isu keselamatan yang belum terjamin.

AFC mengambil tindakan itu selepas mengikuti perkembangan konflik peperangan AS-Iran yang berlaku sejak minggu lepas sehingga menyebabkan kapal terbang milik syarikat penerbangan Ukraine terhempas di barat daya Tehran dan membunuh semua 176 penumpang serta kru pada 8 Januari 2020.

Nahas berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pasukan Amerika Syarikat (AS) di Iraq, sekali gus menimbulkan spekulasi ia ditembak dan ruang udara Iran tidak selamat untuk dilalui.

Keputusan AFC itu didedahkan oleh wartawan dari Arab Saudi, Waleed Al-Farraj menurut laporan daripada Al-Arabiya.

“Menurut sumber yang boleh dipercayai, AFC akan segera mengeluarkan keputusan mengharamkan kelab Iran untuk menjadi tuan rumah pertandingan Liga Juara-Juara AFC atas sebab-sebab keselamatan,” kata al-Farraj.

Beliau menambah, kelab Iran sepatutnya bermain di stadium”neutral” pada perlawanan kelayakan pusingan kedua yang berlangsung semalam kerana isu keselamatan. Namun, keputusan AFC itu menimbulkan kemarahan penyokong dan mengundang bantahan daripada pegawai pasukan.

Oleh sebab itu, perlawanan di antara Shahr Khodro FC menentang Al Riffa dan Esteghlal FC menentang Kuwait SC terpaksa ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain Shahr Khodro dan Esteghlal FC, kelab Persepolis dan Sepahan turut bertanding dalam saingan AFC Champions League 2020. Mereka diundi dalam kumpulan A dan B.

Mereka turut mengugut untuk menarik diri daripada bertanding dalam saingan kelab Asia itu dan akan membuat aduan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan terhadap AFC.

Wakil daripada Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Amir Mahdi Alavi mengesahkan perkembangan itu dan berkata pihaknya akan bertolak ke Kuala Lumpur malam ini untuk berbincang mengenai isu tersebut di pejabat AFC, Bukit Jalil.

Ia turut mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan Iran, Masoud Soltanifar.

“Pemangku setiausaha agung FFIRI, Ibrahim Shakouri bersama pengurus pasukan Persepolis, Sepahan, Esteghlal dan Shahr Khodro akan meninggalkan Tehran pada malam ini untuk menuju ke Kuala Lumpur.

“Perjumpaan akan diadakan di pejabat AFC pada hari khamis untuk berbincang mengenai isu tersebut bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John,” katanya dalam Tehran Times.

Wakil daripada 4 kelab itu turut menghantar surat rasmi kepada Presiden AFC, Sheikh Salman Bin Ebrahim Al Khalifa untuk menjelaskan Iran cukup selamat untuk dikunjungi dan boleh menganjurkan perlawanan di peringkat antarabangsa.

Jika mereka menarik diri, ia akan menimbulkan persoalan apakah yang akan terjadi pada 2 slot automatik yang diperuntukkan kepada wakil dari Iran dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Gandingan Penyerang Import Baharu Bantu Buriram United Benam Ho Chi Minh City FC

Ceres-Negros Cipta Kejutan Tewaskan Juara Piala FA Thailand, Port FC

UAE Sah Naturalisasi Penyerang Dari Argentina, Kini Muncul Penjaring Liga UAE Ke-2 Terbanyak Sepanjang Zaman