Joan Laporta dikatakan sangat kecewa dengan sikap Ousmane Dembele selepas apa yang dilakukan kelab kepadanya. Pemain itu masih tidak mahu melanjutkan kontrak dengan Barcelona kerana mahukan gaji lebih tinggi daripada yang ditawarkan.

El Partizado De Cope melaporkan bahawa Barcelona berkeras dengan prinsip mereka untuk tidak melanggar garis panduan FFP.

Dembele, Pedri dan Ansu Fati sebelum ini diisytihar sebagai kunci kepada projek masa depan Barcelona.

Barcelona sudah berbelanja besar untuk mendapatkan Ferran Torres sebelum ini. Dan pemain itu akan mulai bermain untuk mereka bermula Januari.

Dembele dikatakan kecewa dengan tindakan Barca yang cuba merendahkan tawaran gaji kepadanya, untuk menampung kos Ferran Torres.

Sebelum ini Dembele dilaporkan tidak mahu melanjutkan kontrak kerana tawaran tidak memuaskan hatinya. Xavi Hernandez sudah menyatakan bahawa Dembele adalah pemain berkelas dunia dan boleh menjadi pemain terbaik dunia dari kalangan pemain di posisinya.

Tidak lama selepas itu, Laporta turut melabel Dembele lebih baik daripada Kylian Mbappe.

Beberapa hari lalu, laporan di Sepanyol menyebut bahawa ejen Dembele memberikan bayangan bahawa pemain itu sedia untuk terus kekal dengan gaji yang lebih rendah. Ketika itu Barcelona mengemukakan satu lagi tawaran kepada Dembele dengan adanya bonus prestasi terkandung dalam kontrak.

Malang sekali sehingga sekarang, Dembele masih tidak menunjukkan minatnya untuk melanjutkan kontrak di Barcelona.

Dan kini Barcelona sudah sedia untuk melepaskan pemain itu pada Januari akan datang.

Laporta sudah memberikan amaran kepada Dembele bahawa beliau akan mengarahkan Xavi untuk menyisihkan terus pemain itu jika dia tidak mahu melanjutkan kontrak.

Barcelona telah banyak berkorban untuk Dembele. Dengan pulangan yang mereka dapat daripada pemain itu sangat rendah ketika ini.

Dembele dibeli dari Borussia Dortmund dengan nilai lebih EUR100 juta. Tetapi sejak menyertai Barcelona, Dembele berdepan dengan banyak sekali siri kecederaan.

Bukan itu sahaja, Dembele juga sudah beberapa kali melakukan masalah disiplin ketika di Barcelona. Dembele juga telah menjejaskan imej kelab di mata penaja selepas insiden perlian berbaur rasis beliau kepada orang Asia sebelum ini.

Kelab itu tetap bersabar dan terus mempercayai pemain itu.