Kelab kecil dari kepulauan Langkawi, Langkawi City FC (LCFC) mengorak langkah ke hadapan apabila menjalin hubungan kerjasama dengan kelab gergasi dari Jerman, Borossia Dortmund untuk program pembangunan akar umbi.

Melalui kerjasama ini, anak muda di Langkawi berpeluang mendapat sentuhan dan mempelajari ilmu bola sepak dari Dortmund untuk mengasahkan bakat mereka supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang berkualiti.

Menurut kenyataan rasmi, kerjasama itu bukan setakat melibatkan pembangunan akar umbi namun ia turut membabitkan siri kejohanan untuk pemain remaja selain perkongsian ilmu antara jurulatih Borussia Dortmund serta program pelancongan sukan antara kedua-dua belah pihak.

Kerjasama diantara kedua-dua buah kelab ini bermula pada 1 September 2021 sehingga 31 Disember 2023.

Lebih menarik, LCFC turut merancang untuk menghantar sekurang-kurangnya 5 pemain muda yang berbakat bermain dengan kelab-kelab di luar negara termasuk eropah.

“Sasaran kita dalam masa lima tahun akan datang ialah membina kekuatan dalam kalangan pemain berumur bawah 20 tahun. Kita cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya lima orang pemain daripada Langkawi City untuk bermain di luar Malaysia ataupun di Eropah. Itulah sasaran kita,” kata Presiden Langkawi City FC, Rohizan Abdullah.

FOTO: Langkawi City FC

Pengarah Urusan Akademi Bolasepak Borusia Dortmund, Benedikt Scholz turut mengakui pemain dari Malaysia ada potensi untuk menyinar di eropah seperti pemain dari Jepun, Shinji Kagawa yang pernah beraksi dengan pasukan itu pada tahun 2014 hingga 2019.

“Tak mustahil. Satu hari nanti ada pemain dari Langkawi. Pemain jepun, Shiji Kagawa sudah buktikan. Saya percaya melalui sistem pembangunan bola sepak yang betul, tak mustahil ada pemain dari Malaysia akan beraksi di Dortmund.

“Kami sedia membantu Langkawi City serta memberikan kerjasama dengan menghantar jurulatih terbaik untuk mengesan bakat baharu di sana,” kata Scholz.

Sementara itu, penaung LCFC yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menzahirkan ucapan tahniah atas kerjasama terbabit.

“Borussia Dortmund adalah jenama global yang berjaya dan sudah tentu LCFC boleh belajar banyak perkara daripada kerjasama ini.

“Saya harap kerjasama ini akan memanfaatkan penduduk Langkawi khususnya golongan muda. Semoga kerjasama ini mencapai kejayaan di dalam ataupun di luar padang,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sri Pahang Rancang Bina Pusat Latihan Lengkap

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar