Kelab Liga M3, Langkawi City FC (LCFC) mengorak langkah ke hadapan apabila menjalin hubungan kerjasama dengan kelab gergasi dari Jerman, Borossia Dortmund untuk program pembangunan akar umbi di pulau tersebut.

Melalui kerjasama ini, para pemain muda di Pulau Langkawi berpeluang mendapat sentuhan dari Dortmund untuk mengasahkan bakat mereka supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti.

Menurut kenyataan rasmi, kerjasama itu bukan setakat melibatkan pembangunan akar umbi namun ia turut membabitkan siri kejohanan untuk pemain remaja selain perkongsian ilmu antara jurulatih Borussia Dortmund serta program pelancongan sukan antara kedua-dua belah pihak.

Kerjasama diantara kedua-dua buah kelab ini bermula 1 September 2021 sehingga 31 Disember 2023.

“Bola sepak menjadi bertambah popular di seluruh dunia termasuklah di Asia dan kami bangga untuk bekerjasama dengan LCFC.

“Pertukaran pengetahuan yang menyeluruh dan sokongan berterusan untuk pembangunan akar umbi di Langkawi dan Malaysia akan menjadi fokus utama dalam jalinan kerjasama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Carsten Cramer.

Sementara itu, penaung LCFC yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menzahirkan ucapan tahniah atas kerjasama terbabit.

“Borussia Dortmund adalah jenama global yang berjaya dan sudah tentu LCFC boleh belajar banyak perkara daripada kerjasama ini.

“Saya harap kerjasama ini akan memanfaatkan penduduk Langkawi khususnya golongan muda. Semoga kerjasama ini mencapai kejayaan di dalam ataupun di luar padang,” katanya.

Presiden LCFC, Rohizan Bin Abdullah berharap kerjasama dengan Borussia Dortmund dapat membantu melahirkan lebih ramai muda yang berkualiti dengan membekalkan kemahiran bola sepak yang betul.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan ini. Melalui kerjasama antara Langkawi City dengan Borussia Dortmund akan membantu kita memperkasakan program pembangunan akar umbi dan pendidikan sukan di pulau ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sri Pahang Rancang Bina Pusat Latihan Lengkap

Kuching City Dan TRW Kelantan Tempah Tiket Ke Piala Malaysia 2021

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar