Badan pengendali Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini mengumumkan penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia musim 2021 daripada 26 Februari 2021 ke 5 Mac 2021.

Keputusan itu dibuat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak melihat ia sebagai keputusan adil selain memahami keperluan utama yang perlu diambil kira ekoran jumlah kes pandemik COVID-19 yang masih di tahap membimbangkan.

“Keputusan yang dilakukan MFL ini adalah sesuatu yang cukup adil kepada semua terutama kebanyakan pasukan sudah tidak boleh berlatih dan sudah tentu MFL telah melakukan kajian mendalam daripada semua segi sebelum membuat keputusan sebegini.

“Begitu juga aksi pembukaan Piala Sumbangsih dan saya rasa pandangan Johor Darul Ta’zim juga telah diambil kira, jadi kami bersedia untuk bermain pada 5 Mac jika mengikut perancangan terbaharu.

“Mengenai ketiadaan Piala FA pada musim ini, memang saya berasa sangat sedih namun dalam masa faham kenapa keputusan itu diambil kerana kita ada juga kepentingan lain perlu dilihat seperti pasukan kebangsaan dan kejohanan di peringkat AFC.

“Kita kena hormat serta faham situasi sekarang yang melibatkan COVID-19 ini yang masih tinggi kesnya di Malaysia dan kenapa keperluan ini perlu diambil,” katanya.

Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh turut bersependapat dengan Aidil sambil menyatakan keselamatan pemain dan pengawai menjadi faktor paling penting yang perlu ekoran lonjakan kes pandemik COVID-19 yang begitu tinggi.

Tambahnya, MFL perlu membuat keputusan sedemikian agar ada ruang untuk pasukan melakukan persiapan pra musim sambil optimis akan ada langkah susulan daripada badan pentadbir Liga Malaysia itu jika kebanyakan pasukan belum boleh berlatih selepas 4 Februari depan.

“Apa yang kita kena tengok sekarang adalah keselamatan semua, kita sudah tentu tidak mahu kalau liga berjalan juga, akan ada kes kluster membabitkan pemain dan pegawai, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.

“Saya juga tiada masalah menerima hakikat tiada pertandingan Piala FA pada musim ini kerana sememangnya itu yang terbaik kepada semua pihak kerana penangguhan sepak mula Liga Malaysia, masa pasti suntuk untuk harungi semua perlawanan.

“Mengenai persiapan, Sri Pahang sememangnya telah bermula tempoh hari sebelum PKP dilaksanakan dan kita harap semua pasukan berpeluang dapat jalani latihan sebaik tiada lagi PKP mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.

Teruskan membaca artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Yakult Sedia Hantar Pemain Muda Terengganu FC Ke Jepun

Faizal Azumu Letak Jawatan Sebagai Presiden PAFA, Dedahkan Gaji Pemain Masih Tertunggak

19 Pengadil Malaysia Didaftarkan Sebagai Pengadil FIFA Tahun 2021, Amirul Izwan Ditauliah Video Match Official (VMO)

FA Thailand Dedahkan Mereka Miliki 39 Jurulatih Yang Memegang Lesen PRO, 120 Orang Lagi Berstatus Lesen A