Semalam, kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea mengesahkan bahawa mereka telah memecat pengurus pasukan iaitu Frank Lampard selepas mempamerkan prestasi yang hambar dalam beberapa perlawanan.

Mereka tewas lima daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana selepas memulakan kempen dengan baik.

Menurut kenyataan rasmi, Chelsea menyatakan bahawa ia adalah keputusan yang sangat sukar, dan bukan keputusan yang diambil mudah oleh pemilik dan Lembaga Pengarah.

Lebih mengejutkan, wartawan dari Sky Sports turut melaporkan Lampard dihalang daripada memasuki pusat latihan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para pemain dan pegawai pasukan.

“Ianya kejam, dia tidak dibenarkan ke pusat latihan untuk mengucapkan selamat tinggal,” lapor Gary Gotterill dipetik melalui laman twitter rasmi Sky Sports.

Situasi itu turut mengundang rasa sedih dalam kalangan peminat Chelsea kerana Lampard sudah lama berkhidmat dengan kelab itu sejak zamannya sebagai pemain profesional. Mereka menyifatkan Lampard wajar dilepaskan dengan penuh hormat bukan dihalau seperti orang luar.

“Satu penghormatan dalam melatih Chelsea, kelab yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya begitu lama. Saya berterima kasih kepada para penyokong untuk sokongan yang luar biasa selama 18 bulan. Saya harap mereka tahu ia sangat bermakna untuk diri saya.

“Saya kecewa tidak diberi lebih banyak masa pada musim ini untuk membawa kelab maju dan mara ke peringkat seterusnya.

“Saya ingin berterima kasih kepada Abramovich, para pegawai, pemain dan barisan jurulatih serta semua orang di kelab atas kerja keras mereka. Saya harap pasukan ini mencatat kejayaan yang cemerlang di masa depan,” kata Lampard.

Bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel dilaporkan akan mengambil alih tugas Lampard.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Chelsea melalui pautan dibawah.

RASMI: Lampard Dipecat Kerana Tak Ada Hala Tuju Jelas

Pro Dan Kontra Pelantikan Tuchel Di Stamford Bridge

Chelsea Mahukan Erling Braut Haaland