Frank Lampard menganggap pelantikan sebagai pengurus baharu Everton merupakan satu penghormatan buat dirinya kerana dapat membimbing pasukan besar seperti kelab yang berpangkalan di Liverpool itu.

Everton menjadi kelab ketiga buat Lampard selepas terjun ke fasa kejurulatihan apabila sebelum ini beliau membimbing Derby County dan kelab yang tidak asing lagi buat dirinya, Chelsea.

Menurut laman sesawang rasmi Everton, pengendali berusia 43 tahun itu telah ditawarkan kontrak sehingga Jun 2024 (dua tahun setengah) di mana aksi bertemu Brendtford dalam saingan Piala FA pada 5 Februari nanti bakal menjadi aksi pertama pasukan dibawah kendalian Lampard.

“Penghormatan yang besar buat saya untuk mewakili dan menguruskan kelab besar dan mempunyai tradisi seperti Kelab Bola Sepak Everton,” ujar Lampard.

“Saya sangat ‘lapar’ untuk memulakan tugasan. Selepas bercakap dengan pemilik, pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah, saya begitu merasakan semangat dan cita-cita mereka.”

“Saya berharap mereka juga turut merasakan cita-cita saya dan bagaimana kerasnya saya mahu bekerja bersama mereka.”

“Anda boleh merasakan semangat tinggi dalam kalangan penyokong Everton terhadap kelab ini. Itu akan menjadi sangat penting.”

“Sebagai sebuah pasukan pada tahap kompetitif seperti dibawakan oleh Liga Perdana Inggeris dan kedudukan kami dalam carta liga, kami memerlukannya [semangat daripada penyokong]. Ia adalah perkara dua hala.”

“Saya merasakan Everton adalah kelab yang unik kerana anda boleh benar-benar memahami apa yang penyokong mahu saksikan. Perkara pertama yang mereka mahukan ialah berjuang dan keinginan. Ia sentiasa menjadi keutamaan kami,” tambah Lampard lagi.

Lampard bakal dibantu oleh Joe Edwards bersama-sama Paul Clement sebagai Jurulatih Skuad Utama serta Chris Jones bertindak selaku Jurulatih Skuad Utama dan Ketua Penilai Prestasi Pasukan.

Pengurusan tertinggi Everton terpaksa mencari pengurus baharu selepas bertindak memecat Rafa Benitez susulan aksi hambar sehingga menyebabkan kelab tersebut terperosok ke tangga ke-16 liga pada ketika ini.

Selepas mengharungi 20 perlawanan, The Tofees hanya mencatatkan lima kemenangan, empat keputusan seri dan 11 kekalahan untuk meraih 19 mata, hanya empat mata dibezakan dengan zon penyingkiran.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia:

Jordi Amat, Sandy Walsh Semakin Hampir Sarung Jersi Indonesia

Dokumentari Khas ‘Sampai Mati Kuala Lumpur’ Bakal Ditayangkan Mulai Esok

Eriksen Kembali Ke England, Pemain Pertama Pakai ICD Di Liga EPL

Sumber