Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC)  hari ini mengumumkan kit jersi edisi khas bagi musim 2021 sudah habis dijual sejak dilancarkan secara rasmi pada 3 Mei lepas sempena ulang tahun yang ke-85 pasukan itu.

Jersi ini hanya mempunyai 1936 helai sahaja dan dijual dalam satu set yang turut mengandungi item-item eksklusif seperti beg pakaian, penyangkut baju yang berukirkan logo SFC, pemegang sijil beserta sijil yang mempunyai nombor bersiri unik bagi setiap helai jersi.

Walaupun harganya mencecah RM300 namun ia tetap laris dan menjadi rebutan penyokong setia Selangor yang mempunyai rasa cinta tinggi terhadap kelab.

Antara keunikan yang terdapat pada jersi ini adalah penggunaan logo pertama pasukan bola sepak Selangor yang pernah direkodkan yang mempunyai motif kepala banteng (Bos javanicus) dan dikelilingi oleh corak tangkai padi.

Satu lagi elemen rekaan paling utama jersi edisi khas ini adalah rekaan selempang diRaja Selangor yang berwarna merah kuning yang menghiasi bahagian hadapan jersi tersebut.

Setiap helai jersi ini juga hadir dengan pelekat holografik emas yang mempunyai nombor siri yang sama dengan sijil bagi tujuan pengesahan ketulenan dan nombor siri produk tersebut.

Sudah tentu ini adalah antara koleksi ‘rare’ yang wajib dimiliki oleh para pengumpul jersi kerana nilainya sangat tinggi di masa depan. 

Set nombor 85 yang berwarna emas bersempena ulang tahun ke-85 pasukan juga telah dipadankan di bahagian belakang jersi untuk meningkatkan lagi nilai estetika jersi ini, selain logo ulang tahun 3D yang berwarna emas turut dilekatkan di bahagian belakang leher.

Baca artikel lain mengenai pelancaran jersi ketiga pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Sabah Lancar Kit Jersi Ketiga Yang Dikenali Sebagai ‘The Bayu’

Melaka United Lancar Kit Jersi Ketiga Hadapi Baki Saingan Liga Malaysia 2021

Lebih 5000 Helai Jersi Terengganu FC Telah Terjual, Jersi ‘Away’ Paling Laris