Presiden La Liga, Javier Tebas mengumumkan bahawa Barcelona akan terus kekal digantung daripada membeli pemain dalam jendela perpindahan akan datang.

Ini bermaksud, Barcelona sudah dikenakan larangan dalam 2 jendela perpindahan berturu turut.

Joan Laporta sebelum ini yakin pasukannya akan diberikan kebenaran untuk membeli dan mendaftarkan pemain pada jendela perpindahan akan datang.

Malangnya, Barcelona diminta untuk mendapatkan hasil kira kira £178 juta / €200 juta, dengan menjual pemain pemain yang mereka ada terlebih dahulu untuk memasuki pasaran perpindahan.

Barcelona pastinya sukar untuk meraih hasil jualan sebanyak itu. Memandangkan mereka sendiri memerlukan pemain pemain yang sedia ada agar terus kekal bersama mereka.

Laporta sebelum ini sudah bertekad bahawa kelab tidak perlu panik untuk menjual pemain, sebaliknya akan berusaha mengurangkan gaji pemain sehingga £150 juta.

Kelab sebelum ini sudah berbelanja besar pada musim panas 2022. Dengan mendapatkan bintang seperti Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde, walaupun dibelenggu dengan isu masalah kewangan.

Lewandowski meraikan jaringan ketika bertemu Elche dalam saingan La Liga 2022/23. Kredit Foto: Barcelona

Namun pada masa itu mereka telah mengaktifkan beberapa langkah untuk menambah pendapatan. Antaranya dengan menjual sebahagian daripada hak tv mereka.

Barcelona berjaya mengurangkan hutang mereka dengan drastik. Di mana pada satu ketika hutang mereka mencecah £1.3 billion.

Kegagalan untuk terus kekal di UCL dan disingkirkan daripada play off UEL oleh Manchester United, juga memberikan impak kepada pendapatan kelab.

Javier Tebas ketika di London menghadiri Financial Times’ Business of Football Summit, berkata: “Barcelona telah terlibat dalam beberapa siri tindakan yang meragukan dan La Liga betindak pantas dengan sebaiknya.”

“Kami sudah menetapkan bahawa mereka tidak boleh menandatangani mana mana pemain lagi.”

“Mereka menjual hak tv mereka dan mendapat €700 juta, cuba beberapa cara lain untuk menyelesaikan situasi tersebut.”

“Namun musim depan, mereka sudah tidak boleh berbuat demikian. Kami ada kawalan ekonomi yang ketat di La Liga. Pada setiap jendela perpindahan kami akan memberitahu mereka jumlah yang mereka boleh berbelanja.”

La Liga kemudian menetapkan bahawa Barcelona perlu menjana sekitar €200 juta lagi untuk membolehkan mereka membeli pemain dalam jendela perpindahan akan datang.

“Dalam hal ini, Barcelona harus menurunkan perbelanjaan pada gaji pemain dan pembelian pemain, dari sekitar €650 juta ke paras €450 juta. Jadi budget mereka masih negatif €200 juta.”