Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

La Liga secara rasminya mengumumkan bahawa mereka telah membuat aduan rasmi tentang PSG dan Manchester City yang menurut mereka telah merosakkan struktur bola sepak dan pasaran pemain.

Presiden La Liga, Javier Tebas meminta UEFA bertegas ke atas 2 kelab yang dibiayai dana berdaulat ataupun kelab negeri.

Tindakan Manchester City mendapatkan Erling Haaland baru baru ini membuatkan Tebas merasakan ada sesuatu yang tak kena dalam perpindahan tersebut.

Seterusnya Kylian Mbappe menolak tawaran Real Madrid pada saat akhir dan memutuskan untuk terus kekal di PSG.

Dua pemain tersebut dikaitkan dengan Real Madrid sebelum ini. Tetapi kedua dua pemain ternyata tidak datang ke Sepanyol.

Manchester City mengesahkan bahawa mereka membayar klausa pelepasan £51 juta pada kontrak Haaland. Laporan oleh Kaveh Solhekol dari Sky Sports menyatakan bahawa perjanjian itu, termasuk gaji dan yuran ejen, dilaporkan boleh melebihi £250 juta.

Javier Tebasb berterus terang menyatakan dia tak pecaya kalau harga Haaland hanya £51 juta.

Seterusnya, Tebas masih tak berpuas hati kerana Kylian Mbappe menolak tawaran Real Madrid dan kekal bersama PSG.

Menurut Tebas, PSG memiliki beban hutang yang sangat tinggi dengan tanggungan bil gaji pemain yang sangat tinggi.

Tebas pada awalnya yakin Mbappe akan datang ke La Liga menyertai Real Madrid. Tetapi akhirnya kecewa kerana Mbappe memutuskan untuk kekal di PSG.

Perang Tebas dengan PSG sudah lama berlaku, sejak perpindahan Neymar lagi. Lebih menyakitkan hati Tebas apabila PSG mendapatkan Lionel Messi secara percuma, yang merupakan ikon utama La Liga selepas pemergian Cristiano Ronaldo.

Kontrak tiga tahun baharu Mbappe akan menyaksikan PSG membayar pemain Perancis itu gaji tahunan antara 40 dan 50 juta euro.

Lantaran itu, La Liga berkata mereka membuat aduan rasmi kepada UEFA, mahkamah pentadbiran Perancis dan Kesatuan Eropah.

“Saya bukannya membela Real Madrid sahaja dalam isu Mbappe, saya membela bola sepak Eropah,” kata Tebas, pada sidang akhbar di Valladolid.

“Minggu ini kami akan membuat aduan menentang PSG, minggu lalu kami melakukannya dengan mengadu tentang City.”

Tebas sekali lagi yakin kedua-dua kelab melanggar peraturan kewangan UEFA, yang menjejaskan kestabilan pasaran pemain dan mengganggu keseimbangan persaingan permainan.

Tebas berkata: “Membenarkan operasi ini… lebih berbahaya daripada Liga Super (Eropah).”

PSG mengalami kerugian 224.3 juta euro pada 2020/21, beban hutang itu meningkat 80 peratus berbanding tahun sebelumnya, laporan tahunan pihak berkuasa kewangan bola sepak Perancis (DNCG) berkata awal bulan ini.

 

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group