Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

David Alaba menikmati aksi El Clasico pertamanya dengan penuh bergaya apabila jaringan dihasilkannya pada babak pertama merintis kepada kemenangan 2-1 buat Real Madrid pada pertemuan La Liga 2021/22 menentang Barcelona di Nou Camp, sebentar tadi.

Ia juga merupakan kemenangan keempat berturut-turut buat Real Madrid terhadap musuh tradisi mereka itu dimana Los Blancos menang pada kedua-dua perlawanan musim lalu.

Meskipun perseteruan pada kali ini tanpa Lionel Messi dan Sergio Ramos serta Cristiano Ronaldo yang sudah beberapa musim meninggalkan Real Madrid, ia tidak menghalang para penyokong untuk memenuhi segenap ruang di Nou Camp.

Aksi di tengah padang juga tidak kurang hebatnya dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menarik dalam usaha mendapatkan jaringan.

Barcelona hampir di hadapan pada minit ke-25 apabila Sergino Dest mendapat peluang terbaik susulan gerakan yang dimulakan Memphis Depay dari sebelah kiri pintu gol Real Madrid.

Dest bagaimanapun perlu menyalahkan dirinya sendiri selepas melakukan percubaan meliar ketika beliau tidak dikawal pertahanan dan hanya berhadapan penjaga gol lawan, Thibaut Courtois.

Real Madrid berjaya memperoleh jaringan pembukaan pada minit ke-32 apabila Alaba melakukan percubaan dalam kawasan penalti yang membolosi gawang Barcelona selepas beliau menerima lorongan cantik daripada Rodrygo.

Barcelona cuba untuk bangkit berselang tiga minit kemudian tetapi tandukan Gerard Pique hasil sepakan sudut Depay sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua, Karim Benzema hampir melebarkan kedudukan buat Real Madrid tetapi percubaan voli menarik dilakukannya pada minit ke-62 dinafikan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Lucas Vasquez menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau pantas melakukan tolakan susulan berikutan percubaan awal Marco Asensio dihalang Stegen bagi memberikan gol kedua.

Pemain gantian, Sergio Aguero sedikit menceriakan penyokong Barcelona dengan gol yang dihasilkan pada minit terakhir masa kecederaan tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan Real Madrid.

 

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group