KV Kortrijk mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pengurus pasukan, Adnan Custovic ekoran prestasi kelab yang semakin merudum dalam saingan Jupiler Pro League.

Perkara ini dikongsikan okeh pihak kelab menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan dimana Kortrijk juga menamatkan kontrak pembantu kepada Adnan iaitu Gunter Van Handenhoven.

“Pihak pengurusan menamatkan kerja sama bersama Adnan Custovic dan pembantunya, Gunter Van Handenhoven. Pihak kelab akan mencari pengganti secepat mungkin,” dipetik dari kenyataan kelab.

Adnan dilantik sebagai pengurus pasukan bagi menggantikan Karim Belhocine pada Ogos lalu namun tidak banyak perubahan yang dibawa oleh Adnan.

KV Kortrijk hanya mengutip dua kemenangan dalam saingan liga sejak Adnan mengambil alih sekaligus meletakkan kelab itu di tangga ke-17 dan berisiko untuk jatuh ke saingan divisyen dua musim hadapan.

Selain itu, pengurus dari Bosnia itu hanya memberikan satu peluang untuk penyerang skuad kebangsaan, Luqman Hakim tampil bersama skuad senior iaitu pada aksi menentang KVC Westerlo dimana pemain itu dimasukkan pada masa kecederaan.

Pengurus dari Jerman, Bernd Storck dikhabarkan bakal menjadi pengganti kepada Adnan namun sehingga artikel ini ditulis tiada sebagang pengesahan dari pihak kelab.

Saingan Jupiler Pro League sedang berehat ketika ini bagi memberi laluan kepada temasya Piala Dunia 2022 Qatar yang akan membuka tirai pada 20 November ini.

Apabila saingan liga bersambung pada 22 Disember, Kortrijk akan turun menentang OH Leuven dalam saingan Piala Belgium peringkat 16 pasukan terakhir.