Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bakal diuji dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 147 dunia iaitu Kuwait pada bulan November 2020 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam melalui laporan dalam Kosmo! sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Bangkok pada 17 November 2020.

“Kami mendapat persetujuan untuk menentang Kuwait pada November sebelum mengharu­ngi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 terakhir menentang Thailand. Aksi tersebut akan dianjurkan di Malaysia.

“Pemilihan Kuwait dilakukan selepas mendapat persetujuan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan. Kita bukan mengejar untuk menang semata-mata pada perlawanan persahabatan tetapi memilih lawan yang berada di ranking lebih tinggi seperti Kuwait dan Bahrain sebagai pendedahan bagus untuk skuad kebangsaan.

“Ia memberi bayangan kepada penyokong bahawa skuad Harimau Malaya serius dalam meraih keputusan positif untuk tiga baki perlawanan nanti,” katanya kepada Kosmo!.

Pengganti

Sumber Gambar: FAM

Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi semasa wabak pandemik COVID-19 dan kebenaran daripada pihak kerajaan memandangkan sekatan perjalanan masih dikenakan oleh beberapa negara.

“Kami sentiasa berhubung dan mendapatkan nasihat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memandangkan wabak Covid-19 masih belum pulih.

“Bagaimanapun, peranca­ngan untuk aksi antarabangsa itu sudah diatur sepenuhnya dan tarikh panggilan pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan juga akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Negara dari Asia Barat menjadi pilihan FAM untuk atur perlawanan persahabatan bagi memastikan skuad Harimau Malaya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental kerana baki 3 perlawanan kumpulan G bakal menghadirkan tentangan sengit.

Malaysia kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand.

Justeru itu, FAM enggan melepaskan peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Tan Cheng Hoe Harap Liga Malaysia Bersambung Lebih Awal Untuk Persiapan Skuad Harimau Malaya

Harimau Malaya Tidak Perlukan Marcel Kalonda

Vietnam Bertemu Iraq Di Hanoi Sebagai Ujian Terakhir Sebelum ‘Hadap’ Harimau Malaya

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group