Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto tanpa berselindung mengakui gembira dengan satu mata yang diraih skuad bimbingannya apabila berjaya mengikat Penang 1-1 pada aksi kelapan Liga Super Malaysia 2021, malam tadi.

Berjaya mendahului pada minit ke-52 menerusi jaringan menarik pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani, Sabah akhirnya terlepas peluang untuk mencatatkan kemenangan apabila Casagrande Anselmo Arruda Da Silva kembali menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-86.

Keadaan itu bagaimanapun tidak mengecewakan Kurniawan kerana beliau sedar lawan yang dihadapi dalam kunjungan ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu bukanlah calang-calang pasukan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji aksi yang ditampilkan anak buahnya dalam mengikat skuad kendalian Thomas Trucha tersebut.

“Pertama saya ucapkan syukur Alhamdulillah atas satu mata di gelanggang lawan ini dimana mata ini sangat penting bagi kami,” ujar Kurniawan dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

“Kemudian tentunya saya berterima kasih kepada para pemain kami yang beraksi luar biasa. Mereka menjalankan rancangan permainan yang sudah kami cuba rancangkan.”

“Memang kita sudah menganalisis permainan Penang, kita tahu Penang memang sebuah pasukan yang mantap, baru tewas satu perlawanan sahaja.”

“Tentunya kita cuba bangkitkan motivasi para pemain bahawa tiada yang mustahil dalam bola sepak.”

“Alhamdulillah mereka [pemain Sabah] bekerja keras, sangat bagus dan kita dibolosi daripada gol yang menjadi kekuatan Penang iaitu situasi bola mati (set-pieces),” tambah Kurniawan lagi.

Keputusan seri itu menyaksikan Penang kini menghuni tangga keempat dengan mengumpul 15 mata manakala Sabah pula berada di kedudukan ke-10 selepas meraih enam mata.

Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.

Pusat Latihan PDRM FC Kini Dilengkapi Bilik Persalinan Pemain Dan Pejabat Pentadbiran

Kerteh FC Berjaya Jual 350 ‘Joyah’ Dalam 5 Hari, Jana Pendapatan 4 Angka Dari Produk SME Tempatan

Hatrik Ifedayo Serikan Kebangkitan Selangor Atasi Perak