Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto dilaporkan sah akan berkelana ke Itali untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab saingan Serie B, Como FC.

Tugasan bersama kelab yang kini menduduki tangga ke-11 liga itu menyaksikan Kurniawan bakal menjadi penolong kepada ketua jurulatih, Giacomo Gattuso.

Menurut sumber laporan Goal Indonesia, pengendali berusia 45 tahun itu mendedahkan  sedang menunggu segala urusan bagi menyelesaikan isu permit kerja di Itali yang sedikit lewat kerana varian Omicron melanda dunia ketika ini.

Difahamkan, Como FC yang dimiliki oleh rakyat Indonesia, Robert Budi Hartono (pemilik syarikat Djarum) sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Kurniawan, namun pada ketika itu beliau masih membimbing Sabah.

“Tidak pernah saya membayangkan. Tidak pernah juga saya mempunyai mimpi seperti ini [untuk menyertai Como FC],” ujar Kurniawan.

“Jadi seperti tahun lalu ketika mereka dinaikkan pangkat ke Serie B, sekitar pada bulan Jun atau Julai, saya dihubungi oleh Pak Mirwan [Robert Wijaya Suwanto]. Dia mengatakan mahu jurulatih dari Indonesia untuk menjadi penolong [jurulatih].”

“Tapi kerana saya masih terikat kontrak dengan Sabah FC, saya mengatakan kepadanya saya perlu menghabiskan kontrak terlebih dahulu.”

“Kalau itu memang rezeki, kontrak saya habis pada Disember. Mungkin ini sudah menjadi jalannya. Alhamdulillah saya berbincang dengannya lagi dan mereka masih memberikan peluang buat saya untuk menyertai pasukan.”

“Semalam saya menyiapkan visa ke United Kingdom, jadi saya dibantu dahulu di Garuda Select sambil menunggu permit kerja ke Itali,” tambah Kurniawan lagi.

Itali nyata bukan asing buat Kurniawan kerana pada zaman remajanya, beliau pernah menyertai Akademi Sampdoria pada tahun 1994.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group