Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menganggap kemenangan ke atas Terengganu semalam mencetuskan semangat baharu bagi pemainnya untuk menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan akak datang.

Sebelum aksi berdepan Terengganu, Sabah mengalami tiga kekalahan berturut-turut dan tiga mata yang diraih semalam datang tepat pada waktunya.

“Memang tidak dapat dinafikan kemenangan malam ini (semalam) menyuntik semangat pemain agar terus menyumbang mata kemenangan pada setiap perlawanan akan datang.

“Saya melihat semua pemain bermain pada tahap sebenar walaupun berdepan tekanan selepas tiga kekalahan berturut-turut termasuk kepada PJ City di gelanggang sendiri tempoh hari.

“Ternyata pemain mengetepikan tekanan lalu dan fokus kepada perlawanan sehingga menghasilkan kemenangan pertama,” kata Kurniawan.

Pada masa yang sama, jurulatih dari Indonesia itu menegaskan beliau mempunyai masa yang panjang untuk memantapkan lagi pasukan susulan saingan Liga Super berehat selama 12 hari bagi memberi laluan kepada kem latihan pusat skuad kebangsaan.

“Kita akan manfaatkan peluang yang ada ini untuk melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Dollah Salleh: Bahagian Serangan Tak Nampak Ada ‘Umph!’, Ada Masa 10 Hari Untuk ‘Repair’ Semula

TMJ Gesa Saingan Liga Malaysia Gunakan Khidmat VAR

Prestasi Pengadil Liga Malaysia Berada Di Tahap Membimbangkan