Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dikritik hebat oleh para peminat bola sepak tempatan apabila mempamerkan persembahan hambar dalam dua perlawanan jemputan King’s Cup 2022 di Chiang Mai baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ketika menentang Tajikistan kelmarin, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberikan peluang kepada Sumareh untuk tampil dalam kesebelasan utama bagi membuktikan kemampuan beliau.

Bagaimanapun, Sumareh gagal menampilkan prestasi terbaik dimana beliau dilihat sedikit bergelut sekaligus menyebabkan jentera serangan pasukan negara dilihat tumpul dan tidak menghadirkam ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.

Malah, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu nyaris dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan sekaligus menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat.

Penganalisis sukan dan pemerhati bola sepak tempatan Dr Pekan Ramli bercakap kepada Bernama, menjelaskan kekurangan minit permainan dalam saingan liga domestik menjadi antara punca utama kenapa Sumareh gagal menyerlah dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

“Apabila dia (Sumareh) gagal dapatkan minit permainan, makin sukar untuk dia dapatkan kembali prestasi walaupun masih diberi peluang oleh ketua jurulatih Kim Pan Gon dalam skuad kebangsaan.

“Apabila seseorang pemain makin lama makin tertekan, jadi dia makin susah nak dapatkan prestasi terbaik. Ini yang saya nampak berlaku pada Sumareh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sumareh
Sumber Gambar: FAM

Namun begitu, Dr Pekan Ramli juga berpendapat Sumareh perlu berhijrah menyertai pasukan lain supaya berpeluang berada dalam kesebelasan utama untuk meningkatkan prestasinya.

“Kalau masih gagal juga saya tidak nampak pilihan lain selain dia kena pergi ke pasukan lain yang boleh beri dia tempat sebagai pemain utama.

“Saya juga percaya, jika Sumareh berjaya mencapai prestasi terbaik, sumbangannya bakal memberi impak besar kepada prestasi pasukan negara secara keseluruhan,” katanya.

Selepas aksi di Chiang Mai, pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan mereka akan dikumpulkan semula bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric pada hujung tahun ini.