Selangor berpesta jaringan di Stadium Negeri, Sarawak apabila mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Kuching City pada aksi kedua Liga Super Malaysia 2023, sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan bertemu Kelantan United minggu lalu, anak buah Tan Cheng Hoe jelas sukar digugat meskipun beraksi di gelanggang lawan.

Ia jelas dibuktikan apabila Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh membuka tirai jaringan seawal minit keempat perlawanan.

Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran dilakukan Hein Htet Aung dalam kawasan penalti yang tidak disia-siakan oleh pemain import kelahiran Jordan itu.

Kuching City mendapat peluang untuk mengikat kembali kedudukan tetapi percubaan daripada Muhammad Adam Shreen Tambi sekadar singgah di pintu gol Selangor.

Selangor melebarkan kedudukan pada minit kesembilan menerusi Ayron Del Valle Rodriguez selepas rembatan leret beliau setelah menerima hantaran daripada Brendan Gan berjaya menewaskan Norazlan Razali.

Norazlan kemudiannya menggagalkan dua peluang terbaik dalam tempoh satu minit dijelmakan Selangor menerusi percubaan Htet Aung dan Faisal Abdul Halim.

Penguasaan berterusan Selangor pada babak kedua membuahkan hasil apabila lorongan daripada Faisal disempurnakan dengan baik Al Rawabteh untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-48.

Para pemain skuad Gergasi Merah semakin garang dengan dua gol tambahan oleh Brendan Gan (minit ke-65) dan Ahmad Danial Ahmad Asri berselang lapan minit kemudian.

Keputusan 5-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk kemenangan kedua berturut-turut buat Selangor tanpa sebarang gol dilepaskan.