2 Pasukan dari Liga Premier 2021 mengesahkan tempat dalam saingan TM Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan lawan masing-masing semalam iaitu Kuching City dan TRW Kelantan.

Kemenangan 2-0 Kuching City ke atas Perak II dan 2-1 Kelantan ke atas Selangor II memastikan mereka raih kedudukan 6 teratas liga sekaligus memberi tiket automatik ke Piala Malaysia tanpa mengambil kira kedudukan pasukan ‘feeder club’.

Kedua-dua pasukan ini mengikut jejak Negeri Sembilan dan Sarawak United yang terlebih dahulu mengesahkan tempat dalam saingan Piala Malaysia selaku Juara dan Naib Juara Liga Premier 2021.

Setakat ini, 15 pasukan telah disahkan bertanding dalam saingan Piala Malaysia musim ini manakala satu lagi slot akan ditentukan kemudian sama ada PDRM FC atau Kelantan United bergantung pada keputusan perlawanan tertunda Liga Premier, Kuching City menentang Kelantan United pada hari Jumaat.

Berdasarkan undian rasmi Piala Malaysia minggu lepas, juara dan kedudukan kelima Liga Premier akan ditempatkan dalam kumpulan C, naib juara Liga Premier dalam kumpulan A, tempat ketiga Liga Premier dalam kumpulan B manakala tempat keempat Liga Premier akan berada dalam kumpulan D.

Kembali kepada format kumpulan dengan enam perlawanan akan dilalui setiap pasukan, perlawanan sulung TM Piala Malaysia akan berlangsung pada 25 dan 26 September ini.

Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.

Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.

Sebanyak 48 perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan, lapan di peringkat suku akhir, empat bagi separuh akhir dan satu perlawanan akhir dengan jumlah keseluruhan adalah 61 perlawanan.

Di peringkat suku akhir, juara Kumpulan A bakal bertemu naib juara Kumpulan B sementara Juara Kumpulan B menentang naib juara Kumpulan A.

Dua lagi perlawanan suku akhir akan membabitkan juara Kumpulan C dan naib juara Kumpulan D manakala juara Kumpulan D berdepan naib juara Kumpulan C.

Pemenang pertemuan juara Kumpulan A/naib juara Kumpulan B akan bertemu pemenang juara Kumpulan C/ naib juara Kumpulan D di peringkat separuh akhir.

Satu lagi separuh akhir membabitkan pemenang juara Kumpulan B/ naib juara Kumpulan A dan pemenang juara Kumpulan D / naib juara Kumpulan C.

Dua pemenang pada peringkat separuh akhir ini akan bertemu pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 30 November.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar