Misi Kuala Lumpur untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan semakin sukar selepas tewas 0-2 kepada FELDA United yang menyaksikan skuad warga kota itu kini menghuni kedudukan tercorot dengan 14 mata.

Mereka jelas gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila kerap melakukan kesilapan mudah hingga memberi peluang kepada pasukan kendalian Mohd Nidzam Jamil membawa pulang tiga mata penting.

Justeru itu, Kuala Lumpur tiada pilihan lain dan wajib menewaskan JDT dan Perak dalam dua perlawanan terakhir liga jika mahu elak daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Dalam perlawanan semalam, FELDA United terlebih dahulu membuka akaun jaringan  menerusi penyerang dari Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-40. Gol itu telah menyuntik semangat pelawat untuk terus mengandakan asakan dan memberi tekanan kepada tuan rumah.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah memperolehi peluang terbaik untuk untuk merapatkan jurang pada minit ke-53 menerusi penyerangnya Ahmad Fakri Saarani tetapi rembatannya tidak menemui sasaran.

Beberapa minit kemudian, skuad The Fighters berjaya mengukuhkan kedudukan apabila pemain muda pasukan itu, Zahril Azri melepaskan rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti setelah menerima hantaran daripada Khairul Amri.

Kuala Lumpur seolah hilang arah apabila gagal merencanakan serangan berbahaya ke kubu lawan sekali gus kedudukan kekal 0-2 memihak kepada pelawat hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Kuala Lumpur terpaksa mengharapkan keajaiban untuk keluar daripada zon penyingkiran apabila berada di kedudukan tercorot liga dengan 14 mata.

Manakala The Fighters pula yang bakal menerima kunjungan PKNP di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dilihat lebih berpeluang keluar daripada zon penyingkiran jika berjaya menundukkan lawan nanti.