Bilangan pemain yang meninggalkan pasukan Perak semakin bertambah apabila dua pemain iaitu J. Partiban dan Kenny Pallraj sah menyertai Kuala Lumpur City.

Perkara ini diumumkan oleh Kuala Lumpur City di laman media sosial rasmi mereka dimana Kenny dan Partiban menjadi dua pemain pertama yang ditandatangani pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Kenny dan Partiban mengikut jejak langkah Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang terlebih dahulu meninggalkan pasukan dengan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu.

Penghijrahan beberapa pemain utama Perak ini ekoran krisis tunggakan gaji selama beberapa bulan yang dihadapi oleh pasukan itu sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati pemain.

Minggu lalu, pemain memboikot sesi latihan pada sebelah malam sebagai tanda protes mereka terhadap kegagalan pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Meskipun perbincangan antara pemain dan pihak pengurusan telah diadakan, namun perkara itu tidak memberi jaminan untuk pemain utama kekal beraksi bersama pasukan musim ini.

Lebih ramai pemain dijangka bakal meninggalkan Perak dan menyertai kelab lain seperti beberapa pasukan di Lembah Klang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Hariss Harun Ucap Selamat Tinggal Kepada JDT

25 Pemain Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan

Nafuzi Mahu Pakai Lima Pemain Import, Beri Bayangan Sanjar Shaakhmedov Berada Dalam Perancangan