Pengendali dari Chile, Simon Elissetche bakal mengheret Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur City (KL City FC) dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana isu penamatan kontrak sebelah pihak.

Sebelum ini, Simon menuntut KL City membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta ekoran sebagai pampasan kerana penamatan kontrak tanpa alasan munasabah serta fitnah ke atas kelayakan jurulatih itu.

Peguam kepada Simon, Zhafri Aminurashid menegaskan lesen yang dimiliki oleh jurulatih itu sememangnya sah dan diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Selepas sidang media diadakan, ada beberapa kali perbincangan diadakan dengan mereka tetapi tiada perbincangan serius. Kita lihat lebih kepada sekadar untuk menarik masa.

“Mereka panggil kami datang untuk berbincang dan selepas berjumpa, mereka tanyakan apa yang kami mahu tetapi lepas kami nyatakan kehendak kami, mereka terus senyap.

“Disebabkan isu ini tidak menemui jalan penyelesaian, kami akan failkan kes ini ke FIFA berkemungkinan besar pada minggu depan (minggu ini). Jadi kita akan tunggu FIFA buat keputusan,” kata Zhafri dipetik dalam Berita Harian.

Simon Elissetche
Simon Elissetche sebelum ini diumumkan sebagai jurulatih KL City.  FOTO: Jawa Pos

Bagaimanapun, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat tindakan lanjut daripada Simon.

“Setakat ini, kami sudah mengadakan sekali perjumpaan dengan Simon bagi mendapatkan kata sepakat dan penyelesaian terhadap isu yang berlaku.

“Ada beberapa tuntutan tidak dapat kami penuhi menyebabkan beliau mengambil tindakan membawa kes ke FIFA. Kami tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu dan terpulang kepadanya untuk mengambil tindakan.

“Apa yang saya boleh katakan, kami terima jika dikenakan hukuman oleh FIFA namun pada masa sama tidak tunduk kepada permintaan Simon,” jelas Nokman dalam Arena Metro.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Bergson Da Silva Tambah Derita Sri Pahang Di Minit Akhir Perlawanan

Bung Moktar Beri Amaran Kepada Pemain Yang Calar Imej Sabah FC

Skuad KDA FC Terima Suntikan Vaksin Dos Pertama