Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sebelum ini menegaskan bahawa Hansi Flick akan terus mengemudi skuad tersebut dalam tempoh yang lama meskipun tersingkir di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia 2022.

Bagi bekas pemain skuad kebangsaan Jerman, Toni Kroos, beliau jelas mempunyai pendapat berbeza kerana merasakan jawatan itu perlu diisi oleh pengendali baharu dan calon tersebut sudah bermain di mindanya.

Individu dirasakan sesuai menurut Kroos ialah bekas rakan sepasukannya ketika menjuarai Piala Dunia 2014, Per Mertesacker yang dilihat mampu menjadi pengganti terbaik buat Hansi Flick.

Kross merasakan Mertesacker yang kini berada di Akademi Arsenal mempunyai gabungan kualiti sempurna untuk menggalas tanggungjawab berat itu.

“Dia mempunyai personaliti yang cukup hebat. Dia mempunyai kuasa mutlak dan  daripada sisi lain, dia juga boleh menjadi ‘rakan’ kepada barisan pemain.”

“Per merupakan seorang yang sangat profesional dan juga boleh memastikan bahawa sekali lagi akan terdapat keakraban antara pasukan dengan para penyokong,” ujar Kroos menurut laporan Goal.

Flick yang dilantik bagi menggantikan Joachim Low pada Ogos 2021 dikritik hebat selepas skuad kendaliannya gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kempen di Qatar.

Jerman tunduk 1-2 ditangan Jepun, seri ketika bertemu Sepanyol dan kemenangan pada aksi terakhir menentang Costa Rica langsung tidak memberikan sebarang makna.

Kejohanan besar seterusnya yang akan dilalui Flick dalam membimbing Jerman ialah pada kejohanan EURO UEFA 2024 di laman sendiri.

Sumber