Kapten skuad futsal Thailand, Kritsada Wongkaeo mengakui teruja dapat memenuhi impiannya untuk beraksi di pentas bola sepak kompetitif apabila membuat penampilan bersama Nakhonpathom United.

Penampilan sulung beliau bersama kelab yang beraksi dalam saingan Thai League 2 itu adalah pada 7 Januari lalu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Pada perlawanan tersebut, Nakhonpathom United berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Chiangmai FC dan Kritsada yang beraksi di posisi tengah kemudiannya turut diturunkan pada perlawanan bertemu Krabi, semalam.

“Walaupun saya sudah melalui pelbagai perlawanan antarabangsa dalam futsal, dapat bermain dalam saingan Thai League 2, saya berasa amat teruja buat pertama kali.”

“Saya meraskan apabila saya bermain dalam kancah Thai League 2, corak permainan yang ditampilkan sangat pantas,” ujar Kritsada menurut laporan Futsal Thailand.

“Apabila saya dibawa masuk pada minit ke-78, saya merasakan yang saya masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan cukup baik. Tetapi selepas beraksi beberapa minit, saya mula untuk lebih serius.”

“Ia kemudiannya semakin bertambah baik tetapi masa jelas tidak mencukupi. Perlawanan sudah pun berakhir. Saya berharap dapat melakukan dengan lebih baik dan bertambah baik pada perlawanan seterusnya selepas ini,” tambah Kritsada lagi.

Kritsada Wongkaeo yang mengecapi pelbagai kejayaan dalam futsal bersama skuad kebangsaan Thailand dan Bluewave Chonburi FC dipinjamkan ke Nakhonpathom United selama tiga bulan untuk mengekalkan kecergasan sebelum kempen Liga Futsal Thailand kembali.