PKN FC gagal untuk meraih tiga mata apabila tewas kepada pasukan Kedah dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam semalam. Dua gol daripada penyerang import, Kpah Sherman nyata tidak cukup untuk menyelamatkan The Red Ants daripada mengalami kekalahan.

Kpah merupakan salah seorang penyerang import yang paling aktif dalam saingan Liga Super musim ini dimana dua gol yang dijaringkan semalam menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Liga ketika ini dengan kutipan 11 jaringan.

Meskipun Kpah telah menjaringkan 11 gol setakat ini, namun beliau tidak selalu mendapat perhatian seperti yang diberikan kepada penyerang Johor Darul Ta’zim, Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera serta penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme.

Sebelum beraksi bersama PKNS, Sherman mewakili pasukan MISC-Mifa atau yang kini lebih dikenali sebagai Petaling Jaya City FC dalam saingan Liga Perdana selama dua musim iaitu pada 2017 dan 2018. Rekod cemerlang Kpah akhirnya menarik minat ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K.Rajagopal untuk membawa masuk beliau bagi menghadapi saingan musim 2019.

Kpah dibawa masuk bagi menggantikan penyerang dari Brazil, Raffael Ramazotti dan keputusan Coach Raja nyata berbaloi apabila pemain dari Liberia berusia 27 tahun itu setakat ini menampilkan persembahan terbaik di jentera serangan PKNS.

Jika Kpah Sherman berjaya mengekalkan momentum sehingga ke penghujung saingan Liga Super musim ini, tidak mustahil PKNS dapat menamatkan saingan dalam kelopok 4 pasukan terbaik Liga. Apa yang perlu dilakukan oleh The Red Ants ialah mereka tampil konsisten dan memperbaiki kelemaham di bahagian pertahanan.