Penyerang Sri Pahang FC, Kpah Sherman mengakui kelemahan di aspek serangan menyaksikan dia agak bergelut untuk menguasai bahagian depan secara individu ketika menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super, Ahad lalu.

Ketiadaan Lucas Da Silva yang dihimpit kecederaan nyata merencatkan serangan Tok Gajah ini di mana Sherman diletakkan sebagai nadi utama pasukan untuk memberikan jaringan kepada pasukan.

Justeru, selepas empat perlawanan Liga Super 2023 ketika ini, bekas penyerang Terengganu FC dan Kedah Darul Aman itu merasakan dia dan rakan sepasukan lain perlu lebih bekerja keras dalam membantu menambah ketajaman bahagian serangan dalam aksi akan datang.

“Kita tahu pasukan ada beberapa pemain yang masih cedera dan untuk terus fokus aksi akan datang, saya rasa kita memang memerlukan pemain untuk tolong di bahagian serangan.

“Ini kerana kalau hanya seorang sahaja penyerang, agak sukar dan sudah tentu kita mengharapkan pemain-pemain lain yang cedera akan kembali pulih selepas ini.

“Tetapi pastinya saya gembira dengan satu gol yang diperoleh untuk kita seri dengan Sabah dan saya hadiahkan jaringan ini untuk isteri dan juga anak saya yang baru lahir.

“Apa yang pasti, kita akan berusaha dengan lebih keras selepas ini untuk memastikan Pahang mampu kekal tanpa tewas”, tambah Kpah Sherman lagi.

Sri Pahang akan sekali lagi berkunjung ke Ipoh pada malam esok untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023 menentang Perak.

Sri Pahang sebelum ini berjaya menundukkan skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim itu di gelanggang yang sama ketika aksi Piala FA tempoh hari dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan lewat permainan oleh Abdul Malik Mat Ariff dan Stefano Brundo.