Daerah Kota Kinabalu di Sabah telah mencatatkan peningkatan kes wabak COVID-19 yang tertinggi daripada keseluruhan 282 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Penambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes COVID-19 di Sabah telah mencecah lebih 2,263 kes dengan 1,132 kes aktif. Oleh sebab itu, Kota Kinabalu diisytihar sebagai zon merah dan ia turut menjejaskan perlawanan CIMB Liga Super diantara Sabah menentang UiTM FC.

Perlawanan terakhir liga super tersebut sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada hari Sabtu ini namun Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk meminda tarikh dan lokasi perlawanan bagi melindungi kesihatan para pemain dan pegawai pasukan.

Selain itu, perlawanan membabitkan pertemuan Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh dan Terengganu FC (TFC) menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak turut dipinda berdasarkan faktor perebutan tempat kedua CIMB Liga Super 2020 dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian TM Piala Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, perlawanan Perak menentang Kedah dan TFC bertemu Pahang yang sebelum ini dijadualkan pada 10 Oktober 2020 (Sabtu), telah dipinda pada 11 Oktober 2020 (Ahad).

“Manakala venue bagi perlawanan di antara Sabah melawan UiTM FC pada 10 Oktober 2020 di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak berikutan bandaraya Kota Kinabalu telah diisytihar sebagai zon merah dan telah menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Lanjutan daripada itu, pihak Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian TM Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Harris Harun Ucap Selamat Tinggal Kepada JDT?

FELDA United Sah Tarik Diri Daripada Liga Malaysia

Ini Senarai ‘Owner’, Nama Syarikat Dan Pengarah 21 Buah Kelab Dalam Saingan Liga Super Dan Liga Premier Malaysia

Pahang Antara 11 Pasukan Yang Tidak Memohon Lesen AFC