Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam telah menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kesan penarikan diri Korea Utara daripada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurut kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya minta supaya FIFA membuat ketetapan yang adil dan saksama kepada semua pasukan terlibat dalam saingan pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Ia ekoran penarikan diri pasukan DPR Korea yang membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata ke atas pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira, sekali gus menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan Pusingan 2 itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

“Dalam surat rayuan tersebut, FAM menegaskan supaya FIFA perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat ‘Fair Play’ dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan,” katanya.

Beberapa hari lalu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Korea Utara telah menarik diri disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

Dengan keputusan rasmi oleh pihak AFC tersebut, bermakna semua pasukan yang akan mengharungi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Ini adalah kerana, mekanisme kelayakan yang sebelum ini sudah jelas dijangka akan berubah disebabkan penarikan diri pasukan Korea Utara.

Ia bakal membawa banyak gangguan luar padang kepada semua pasukan yang masih berpeluang untuk layak berdasarkan mekanisme sebelum ini dan mereka perlu melihat kembali apakah strategi yang perlu digunakan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Kem Vietnam Resah, Seorang Lagi Pemain Cedera Patah Tulang Kaki

UAE Umum 35 Pemain Sertai Kem Latihan Pusat, Omar Abdulrahman Tiada Dalam Senarai

RASMI: AFC Sahkan DPR Korea Menarik Diri, ‘Menyusahkan’ Pasukan Lain Harungi Pusingan Kelayakan

Thailand Mungkin Kehilangan Khidmat Chanathip Hadapi Baki Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022