Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe, kekal sebagai pengendali skuad Harimau Malaya dalam menjayakan misi Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Menurut artikel yang diterbitkan oleh BERNAMA, Cheng Hoe mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai lanjutan kontrak selama dua tahun, susulan kontraknya yang akan tamat pada 31 Dis ini.

Ia sekali gus menyaksikan jurulatih berusia 52 tahun itu akan terus menggalas tanggungjawab tersebut sehingga penghujung 2022, menjelang baki tiga aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula Mac tahun hadapan.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lepas, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu yang kini berada di Pulau Pinang berkata, beliau telah menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata walaupun 2020 menjadi tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan, tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe merupakan individu terpenting dalam menjayakan usaha tersebut.

Stuart berkata FAM yakin keputusan itu akan memberi kesinambungan kepada pasukan, untuk mengharungi baki beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun depan dan 2022.

“Kami gembira TCH (Cheng Hoe) bersetuju untuk menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini. Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki itu (COVID-19) segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan,” katanya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Jalil Rasheed: 5 Perkara Penting Kelab Bola Sepak Perlu Pertimbangkan Sebelum Disenaraikan Di Bursa Malaysia

Diogo Luis Santo: JDT Dan Malaysia Ada Tempat Istimewa Dihati, Rakam Ucapan Terima Kasih Kepada TMJ

Media Vietnam Ini ‘Cincai Kira’ Kutip 6 Mata Lawan Malaysia Dan Indonesia, Lolos Ke Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group